Tiada kena-mengena dengan dia pun – Erma Fatima

MANA ada! Tiada kena-mengena dengan dia pun (Da’i Syed) pun.”

Demikian kata penerbit dan pengarah, Erma Fatima sekali gus menafikan dakwaan sebilangan netizen yang mengatakan  kisah telefilem terbaharu arahannya, Jangan Panggil Aku Gus adalah tentang pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful atau Da’i Syed.

Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali, 58, berkata, dia langsung tidak mengikuti perjalanan hidup individu yang dimaksudkan.

“Apa yang berlaku kepada dia (Da’i Syed) pun, saya sendiri tak tahu kebenarannya.

Jadi, saya tak reti nak buat benda-benda yang saya tak tahu. Saya pun tak nak menyentuh isu orang yang kita tak tahu kebenaran yang sebenar-benarnya.

“Itulah maksud saya. Saya tidak menidakkan ataupun mengiyakan,” katanya ketika dihubungi  sebentar tadi.

Terdahulu, seorang netizen menyatakan karya terbaharunya itu diinspirasikan daripada kisah Da’i Syed yang kini berdepan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.

Ditanya tentang bila tercetus idea untuk menghasilkan drama terbabit, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia edisi ke-9 dan ke-11 itu berkata, penggambaran berjalan lancar sekitar bulan lepas (Februari).

Alhamdulillah, drama ini gabungan pelakon Malaysia dan Indonesia. Saya berharap selepas ini akan lebih banyak lagi drama atau filem yang menggabungkan artis Malaysia-Indonesia.

“Macam satu ketika dahulu filem Gadis Hitam Putih. Lama tak buat usahasama seperti ini,” katanya lagi.

Mengulas tentang keterbukaan dirinya untuk kembali duduk di kerusi pengarah selepas berehat selama 10 tahun, Erma memaklumkan, semuanya berlaku secara kebetulan selepas dua pengarah terpaksa ‘melepaskan’ projek ini.

“Masa saya minta Pali Yahya arahkan projek ini, dia belum habis shooting projek lain lagi.

“Pengarah kedua, Raja Mukhriz waktu saya minta arahkan mak dia di hospital sedang nazak. Itu dua calon saya.

Bila dua-dua tak boleh, saya terpaksa turun dan lagipun, saya nak mengarah filem tak lama lagi (selepas raya). Jadi, ini macam pemanas badan buat saya,” katanya.

Selepas hampir 10 tahun tidak turun ke set sebagai pengarah sepenuhnya, Erma Fatima kembali ke lapangan dengan mengarahkan sendiri naskhah yang disifatkan antara paling berani dalam perjalanan seninya.

Jangan Panggil Aku Gus turut menampilkan gabungan pelakon popular dari Malaysia dan Indonesia termasuk Bara Valentino, Lukman Sardi, Elina Joerg, Bima Samudera, Anna Jobling, Puteri Sarah, Umie Aida dan Vanida Imran.

Projek rentas negara ini bakal disiarkan secara rasmi di aplikasi Karya Reels bermula 5 Mac ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok