SELEPAS lima tahun sejak pelancaran single Hati Mati pada tahun 2020, penyanyi yang pernah diperkenalkan menerusi program realiti Akademi Fantasia, Ahmad Azizi Mohamed atau lebih dikenali dengan panggilan Azizi, kini kembali menyapa peminat dengan single raya terbaharu berjudul Raya Pop.
Lagu berkenaan tampil dengan pendekatan yang segar menerusi konsep modern broadway, menggabungkan elemen joget dengan susunan muzik kontemporari yang ceria dan bertenaga.
Lagu ini bukan sahaja membawa kemeriahan Aidilfitri, malah memberikan pengalaman muzik yang penuh warna dan semangat kebersamaan.
Selepas lima tahun tanpa pelancaran single baharu sejak 2020, Azizi mengakui mengambil masa untuk mencari karya yang bersuaian dan mempunyai nilai emosi yang sesuai.
Tempoh tersebut dimanfaatkan untuk memperhalusi arah muzik serta memperbaiki kelemahan dimana-mana dan memberi fokus kepada kehidupan peribadi dan keluarga.
Azizi turut menyifatkan lagu ini sebagai langkah permulaan kepada perancangan seni yang lebih aktif selepas ini. Menurut Azizi, kemunculan Raya Pop bukan sekadar simbol kembalinya dia dalam industri muzik.
Lagu ini juga merupakan inspirasi kegembiraan anakanda tersayang dan kanak-kanak yang menjadi penyeri Aidilfitri tidak kira di mana mereka berada agar penuh warna, tawa dan kasih sayang,” jelasnya.
Single ini merupakan hasil ciptaan, komposer Aus K dan lirik oleh The, yang menghasilkan karya dengan melodi yang mudah diingati serta lirik yang menggambarkan kegembiraan, kasih sayang dan kemeriahan suasana raya bersama keluarga dan sahabat handai.
“Saya berharap Raya Pop dapat menceriakan suasana Aidilfitri dan menjadi lagu yang dekat di hati pendengar. Ini adalah langkah baharu dalam perjalanan seni saya, dan saya sangat bersyukur dapat kembali berkongsi karya dengan semua,” katanya lagi
Pelancaran rasmi Raya Pop pada 27 Februari 2026 menandakan fasa baharu buat Azizi dalam industri muzik tanah air, dengan pendekatan yang lebih matang, namun tetap meraikan kegembiraan perayaan. – HIBGLAM
