‘Video lama, saya sendiri tak sangka benda itu akan meletup’

DIHENTAM hebat selepas meluahkan rasa terkilan terhadap layanan dingin segelintir peniaga pasar malam, pelakon Adriana Adnan menegaskan tegurannya bukan bertujuan menghina, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman sebagai pelanggan.

Ujar Adriana, 31, dia tidak menyangka video lama mengenai pengalamannya di sebuah pasar malam tiba-tiba tular sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

“Saya sendiri tak sangka perkara itu tiba-tiba meletup. Video itu sudah lama. Saya cuma berkongsi pengalaman di satu bazar. Bila masuk, suasana memang sibuk, tetapi layanan terasa agak dingin.

“Bukan minta dilayan bagai nak rak, cukup sekadar senyuman atau cara bercakap lembut. Kita datang sebagai pelanggan, bukannya mahu menyusahkan sesiapa,” katanya kepada HibGlam.

Perlu ada adab, bintang filem Emp4t itu berpendapat interaksi ringkas seperti senyuman sahaja sudah mampu memberi keselesaan kepada pelanggan, terutama apabila berurusan secara bersemuka.

“Senyum itu sedekah. Kita datang mahu membeli, secara tidak langsung mahu memberi rezeki kepada peniaga.

“Kadang-kadang cara menjawab membuatkan pelanggan rasa seperti dimarahi, sedangkan baru pertama kali berjumpa. Itu membuatkan kita jadi serba salah,” luahnya.

Bagaimanapun, dia cuba sedaya upaya untuk memahami tekanan dihadapi peniaga terutama ketika waktu puncak dan barisan pelanggan panjang.

“Saya faham ada peniaga sangat penat atau terlalu sibuk sampai tak sempat melayan dengan mesra.

“Tetapi mungkin kita boleh ingatkan diri sendiri untuk senyum walaupun sekejap. Layanan baik itu sebenarnya memudahkan urusan kedua-dua pihak,” ujarnya ketika sesi moreh bersamanya, di sini, malam tadi.

Bukan meminta dilayan seperti kelas pertama, bekas pengacara HLive itu berpendapat pelanggan juga mudah berasa tidak selesa apabila layanan terlalu dingin atau kasar.

“Kadang-kadang kita sendiri jadi terlebih fikir. Bila peniaga nampak masam sambil bertanya ‘nak apa?’, kita pula tertanya-tanya sama ada boleh beli atau tidak.

“Sebab itu saya kata, tak perlu lebih-lebih. Senyum sahaja pun sudah cukup buat pelanggan rasa dialu-alukan,” tuturnya.

Sebelum, Adriana mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pengalaman berdepan peniaga kurang mesra di sebuah pasar malam, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam media sosial antara pihak bersetuju dan tidak bersetuju dengan pandangannya.

Dalam perkembangan lain, Adriana kini bekerjasama dengan AirAsia menerusi program #AdrianaCariMakan, iaitu siri video jelajah bazar Ramadan sepanjang bulan puasa.

Program tersebut menampilkan eksplorasi makanan di pelbagai lokasi di luar Selangor seperti Alor Setar serta destinasi luar negara seperti Brunei dan Banjarmasin, Indonesia.

Menariknya, projek berkenaan bukan sahaja merangkumi Semenanjung Malaysia, malah turut membawa Adriana ke Sabah dan Sarawak seperti Labuan, Kota Kinabalu, bagi menikmati kepelbagaian juadah tempatan.

Sepanjang Ramadan, episod baharu disiarkan dua kali seminggu iaitu setiap Selasa dan Jumaat, sekali gus mengajak penonton merasai pengalaman memburu makanan popular di bazar serantau. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok