Video bersama sekadar suka-suka, penyanyi Zaki Yamani tidak menyangka gandingan dengan rakan seperjuangan, Merrah menarik perhatian jenama popular untuk menggunakan khidmat mereka.
Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, berkata kepercayaan syarikat terkenal yang menawarkan peluang disifatkan sebagai rezeki bersama-sama.
“Sebenarnya kami rekod video yang memparodikan watak bapa kami iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Awie sudah lama tetapi baru dikongsikan kepada umum sekitar bulan lalu.
“Tak sangka pula ramai suka seterusnya meminta saya dan Merrah menghasilkan banyak lagi video yang santai-santai namun tetap suntik unsur humor.
“Selepas video tular, ada beberapa wakil jenama tawarkan kerjasama, contohnya jayakan kempen promosi untuk sebuah aplikasi jualan dalam talian. Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Serantau Desa-Citarasa Mendunia Hotel Tenera, baru-baru ini.
Mengakui serasi bergabung dengan anak ikon rock terkenal itu, akui Zaki antaranya dengan Merrah atau Putra Ahmad Merrah, 19, mempunyai banyak persamaan membuatkan mereka sekepala.
Selain sudah menjayakan kempen satu jenama, katanya beberapa pelawaan lain masih dalam pertimbangan dengan melihat jadual mereka yang kini dalam pengajian di kolej.
“Kami sekepala. Merrah orangnya santai, senang terima pandangan serta sarat ‘sense of humor’. Kiranya mudah nak kerja dengannya.
“Video yang kami buat terutama tiru karakter bapa kami itu pun idea bersama. Kalau ada tawaran lain memang kami tak tolak, cuma kena sesuaikan dengan jadual belajar,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya reaksi Jamal berkenaan video mengajuk cara percakapan penghibur tersohor tersebut, Zaki menyatakan bapanya tenang sahaja.
“Sebelum ‘post’ saya fikirkan juga apa penerimaan bapa saya dan bapa Merrah, tapi kami pasti lakonan dibuat tidak melampau atau biadab.
“Setakat ini dia (Jamal) tak marah pun. Jadi selepas ini memang ada beberapa video lain menyusul cuma kami pastikan dalam berlawak pun kami tetap berpada-pada,” katanya. – HIBGLAM
