Bukan tenggelam cuma tak serancak dahulu – Wany Hasrita

WANY HASRITA pernah menjadi antara nama paling rancak pernah menghiasi kanvas industri muzik tanah air.

Berbekalkan aura sopan dan pesona wanita Melayu klasik, pakej tersebut mudah menjual bakatnya untuk diterima khalayak.

Pernah mendominasi carta dengan lagu Menahan Rindu, figura tinggi lampai itu membina reputasi bukan semata-mata popular, tetapi disayangi.

Pun begitu, seperti ombak laut yang tidak pernah statik, perjalanan seni juga mengalami pasang surut.

Di tengah arus perubahan selera pendengar dan kemunculan bakat baharu, pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu memilih untuk tidak melawan arus secara membuta tuli, sebaliknya berlayar tenang sambil terus berkarya.

Baginya, kekal relevan tidak semestinya berada di puncak, namun memadai karya terus bernyawa dan didengar.

Penyanyi yang pernah meraih trofi Bintang Paling Popular 2018 itu mengakui kariernya kini tidak lagi berada pada tahap kemuncak seperti dahulu.

Bagaimanapun, kesedaran bahawa setiap anak seni pasti melalui fasa turun naik membuatkan dirinya menerima keadaan dengan hati terbuka, malah bersyukur kerana masih aktif memenuhi undangan nyanyian.

“Mungkin ada yang kata saya masih ada saja, tetapi sebagai seseorang yang pernah menang Bintang Paling Popular 2018, saya sendiri rasa perbezaannya sangat ketara berbanding sekarang.

“Saya faham, memang adat dunia seni, ada masa naik, ada masa turun.

“Saya masih cintakan industri ini dan tetap mahu memberikan lagu terbaik kepada pendengar.

“Saya tidak lagi mengejar untuk dipuja seperti dahulu. Cukuplah jika lagu saya masuk Carta RIM dan orang sedar, ‘Oh, Wany ada lagu baharu,’” katanya kepada HibGlam.

Meskipun mengakui graf karier sedikit menurun, wanita berusia 33 tahun itu menolak tanggapan kononnya dirinya semakin tenggelam malah hakikatnya jadual seni masih padat dengan persembahan hampir setiap minggu.

“Saya tidak rasa tenggelam kerana alhamdulillah masih ada orang menjemput saya menyanyi. Hampir setiap bulan ada persembahan.

Cuma momentumnya tidak seperti dahulu. Peminat saya pun ramai sudah berkeluarga, sama seperti saya, ada anak, tidak lagi keluar seperti dulu.

“Nak kongsi di media sosial pun kadang-kadang tak sempat, anak menangis. Jadi sekarang saya cuba pikat generasi baharu sambil terus hasilkan lagu berkualiti,” ujarnya.

Bagi Wany, kematangan bukan sekadar angka usia, tetapi cara memandang kehidupan dan kerjaya.

Dalam perkembangan lain, ibu satu anak itu tampil dengan single berjudul Lembayung Tari, ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh yang menawarkan kelainan menerusi gabungan elemen tradisional dan moden, bersulam melodi puitis serta emosi mendalam.

Lembayung Tari memperlihatkan sisi matang Wany dalam percubaan meneroka bunyi segar, sekali gus membuktikan kesungguhannya untuk terus relevan dalam industri muzik tempatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok