‘Sejak ada Izzara, Tok Ram nak raya sedondon’

KEHADIRAN Ramadan tahun ini semakin bermakna buat penyanyi, Datin Alyah apabila kali kedua dia dan suami, Datuk Ramli MS meraikan bulan penuh barakah ini bersama permata hati mereka, Nur Izzara.

Tahun lalu anak angkat mereka itu masih bayi dan puasa ini Nur Izzara yang bakal menyambut ulang tahun kedua pada April ini sudah ‘dapat kaki’ apabila semakin lasak.

Akui wanita berusia 45 tahun itu, walaupun ada ketika berdepan keletihan menjaga anak terutama ketika menjalani ibadah puasa, perkara tersebut dilihat dari sudut positif.

Layan telatah anak

“Dahulu Izzara masih baby lagi, banyak tidur. Tapi sekarang dia sudah pandai berjalan, banyak akal serta aktif buatkan banyak perkara perlu disesuaikan dengan keperluannya termasuk sepanjang bulan ini.

Ramadan tahun ini saya ubah sikit rutin dengan jarang tinggalkan rumah sebab anak. Saya pun tarawih di rumah saja. Kalau tinggalkan rumah pun untuk balik Johor atau keluar majlis buka puasa macam hari ini.

“Kalau bawa anak, saya akan ambil bilik. Jika Tok Ram (panggilan untuk Ramli MS) tak ikut, saya ajak pengasuh. Macam hari ini, Azzara saya bawa sekali, seronok dia dapat jumpa kawan sebaya.

Kena aktif melayan telatahnya. Letihlah sikit tapi ini bukan merungut tetapi lebih kepada merasai pengalaman baharu. Dahulu kita tengok mak-mak lain ligat kejar anak, sekarang kita pula dapat rasa pengalaman begini,” katanya kepada HibGlam.

Asam pedas

Biarpun aktiviti seni diperlahankan setiap kali bulan puasa, sejak lima tahun lalu penyanyi lagu Kisah Hati itu diundang memeriahkan acara berbuka puasa di Hotel Tenera Bangi, Selangor.

Dahulu saya pernah jadi duta kempen bagi buffet Ramadan hotel ini tapi kali ini saya hadir bersama anak bagi memberi sokongan terhadap kempen kelestarian alam di hotel ini.

“Saya pun jarang berbuka puasa di luar kecuali ada tugasan. Tok Ram pula rajin masuk dapur, dapatlah menikmati asam pedasnya,” ujarnya sambil tertawa.

Terlanjur bercerita mengenai kecenderungan suami memasak, akuinya memang insan kesayangan juga maestro muzik itu suka menyiapkan juadah berbuka.

“Asam pedas memang hidangan wajib. Tok Ram suka cipta resipi asam pedas baru tetapi sebenarnya cuma tambahan beberapa rencah lain. Sebagai isteri, saya bagi galakan serta tukang merasa.

Kiranya saya bertuahlah punya suami rajin dan hebat di dapur, tapi tidaklah sampai lepas tangan. Ada juga saya masak termasuk untuk sahur. Lauk simple saja.

“Tapi tak kerap sebab saya kena simpan tenaga. Saya juga wajib bersahur untuk elak masuk angin sampai jadi muntah. Selepas buat prosedur bariatrik pada 2022 akibat gastrik kronik, dua tahun pertama saya tidak dapat berpuasa,” katanya.

Sedondon raya

Bercerita lanjut, tambahnya kini dia sudah dapat menyesuaikan diri tetapi masih perlu mengambil juadah bersesuaian bagi mengekalkan tenaganya untuk berpuasa sepanjang hari.

Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik, tiada lagi gastrik. Jadi kalau makan pun bersederhana, tidaklah membazir dan dalam masa sama jaga kesihatan.

Menurut Alyah lagi, perubahan juga ketara dari segi aturan dalam keluarga kecilnya terutama dari segi penglibatan suaminya dengan persiapan Ramadan dan Syawal.

“Sebenarnya sepanjang 13 tahun mendirikan rumah tangga kami tak pernah tetapkan untuk gayakan persalinan sedondon. Kalau sama itu adalah kebetulan sebab Tok Ram (Datuk Ramli MS) tak pernah usulkan pakai baju senada.

Tetapi sejak ada Izzara, mula Syawal tahun lalu Tok Ram sebut nak pakai warna sama dengan anak. Contoh tahun lepas kita pakailah merah. Dari segi pilihan juadah serta dekorasi rumah juga sekarang banyak perbincangan.

“Kiranya kehadiran Izzara bawa aura positif yang menyerikan lagi ‘syurga kecil’ kami. Pastinya banyak lagi momen berharga sepanjang tempoh ke arah pembesarannya,” katanya teruja.

Masih tentang kehadiran Izzara, Alyah berasakan masa pantas berlalu apabila bayi yang dijaga ketika masih merah itu semakin banyak telatah.

Seiring waktu, dia juga masih dalam fasa belajar untuk menjadi ibu terbaik, namun pada masa sama menjalani kerjaya seni dengan penuh kesyukuran.

Banyak perkara baru saya lalui dan pelajari selepas Izzara masuk ke dalam hidup kami. Masa mula-mula, saya banyak beli kelengkapan bayi terutama baju.

“Kita tiada pengalaman, banyak baju saya beli. Masa menjelang raya pun rambang mata borong pelbagai jenis persalinan Syawal yang comel. Cuma akhirnya pakai sekali dua.

Bayi cepat membesar, sudahnya tak muat dan bagi saja pada cucu sauara yang sebaya Izzara. Sekarang kami lebih peka dan tidak lagi sambar apa saja yang berkenan di mata.

“Lagipun sekarang masih terlalu awal untuk buat persediaan Syawal. Ada sikit-sikit, paling utama untuk Izzara dulu. Saya dan Tok Ram lebih fokus kepada keperluan bulan puasa serta refleksi diri,” ungkapnya lagi yang bakal tampil dengan lagu raya bersama The Fabulous Cat dalam tempoh terdekat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok