HAMPIR sedekad menyulam identiti lebaran tersendiri, PETRA terus memperkukuh naratifnya sebagai jenama yang meraikan keyakinan wanita moden melalui rekaan tenang, matang dan penuh makna.
PETRA Lebaran 2026 hadir sebagai sebuah penghormatan terhadap warisan Nusantara yang ditafsir semula melalui perspektif kontemporari dengan pendekatan berani namun bersahaja.
Berakar daripada siluet klasik baju kurung, koleksi ini gah melalui potongan moden yang kemas, pemilihan fabrik mewah terhampar indah serta permainan cetakan yang dikurasi dengan ketelitian.
Setiap helaian mengekalkan keseimbangan identiti PETRA — ekspresif tanpa berlebihan, tradisional dalam suntikan malar segar dan relevan untuk gaya hidup semasa.
“Tahun ini, PETRA menyelusuri kekayaan budaya Nusantara sebagai sumber inspirasi utama.
“Siluet kebaya tampil sebagai teras koleksi, diperkaya dengan ritma cetakan ikat dan sentuhan motif flora yang romantis.
Maka, terhasillah sebuah seleksi yang terasa akrab walau diperbaharui demi meraikan nilai kewanitaan, kelembutan dan identiti serantau yang diterjemahkan dalam estetika moden yang halus,” ujar pereka fesyen Ammar Petra.
Tambahnya lagi, PETRA menerapkan rekaan yang menyantuni kepelbagaian saiz dan ragam personaliti wanita moden.
“PETRA Lebaran 2026 adalah untuk mereka yang melangkah ke depan dengan yakin sambil membawa nilai warisan penuh bangga.
Ia bukan sekadar sepasang baju raya tetapi pusaka budaya yang menjadi jati diri dan pegangan murni.
“Koleksi ini menampilkan 28 rekaan eksklusif, merangkumi koleksi wanita, PETRA Petite untuk kanak-kanak serta Baju Melayu Teluk Belanga, menjadikannya sebuah seleksi lengkap dan sempurna untuk seisi keluarga,” kongsinya.
PETRA Lebaran 2026 ditawarkan pada harga bermula RM299 hingga RM795. Boleh didapati secara dalam talian di www.petrartw.com, di PETRA Store, Seksyen 7 Shah Alam dan di Isetan KLCC. – HIBGLAM
