Nama Farah Ahmad bukan lagi asing dalam dunia teater mahupun sinema tempatan. Berbekalkan wajah eksotik dan berambut kerinting, pakej sebegitu membuatkan pemilik nama lengkap Nurfarahaizah Ahmad Zaharuddin, 49, sentiasa menonjol biarpun tidak melakonkan watak utama.
Bakat lakonan yang ada pada dirinya tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun kata Farah, sewaktu dia ‘tumbuh’ membesar, dunia seni tidak pernah sekali pun mencuit impiannya.
Hanya selepas tamat persekolahan baharulah dia mula terpaut hati.
Saya tak suka seni dan sastera ketika di bangku sekolah. Subjek muzik pun saya tak suka. Namun selepas tamat sekolah, saya masih ingat kali pertama beli album Celine Dion, Mariah Carey dan Ning Baizura.
“Kemudian saya sambung belajar dalam jurusan sains komputer dan bertukar kepada kejuruteraan perisian. Ketika itulah saya rasa tak boleh teruskan.
“Selepas itu saya berkawan dengan sekumpulan penggiat seni teater termasuklah arwah suami, Pitt Hanif. Saya selalu lepak bersama mereka di studio. Ketika itulah hati mula tercuit untuk bergiat dalam dunia seni.
Ibu mentua saya, Fauziah Nawi merupakan guru pertama saya. Lakonan pertama saya di pentas teater adalah bawah arahannya pada 1998 menerusi teater Bintang ke Bintang.

SEWAKTU bersekolah, tidak pernah terlintas dalam fikiran Farah mahu bergelar pelakon sehinggalah bidang sains komputer yang dipelajari dirasakan tidak sesuai dengan dirinya.
“Selepas itu barulah saya beralih ke drama televisyen dan memulakan debut dengan drama Seutuh Kudrat Talian Kasih yang disiarkan menerusi TV1.
“Alhamdulillah drama itu mendapat sambutan penonton,” katanya menceritakan mukadimah pembabitannya dalam dunia lakonan.
Selain berlakon, Farah juga pernah terlibat dengan dunia peragaan sebagai peragawati. Bagaimanapun, atas permintaan bakal suaminya ketika itu, dia meninggalkan kerjaya berkenaan.
Pada usia 25 tahun, Farah mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama Pitt dan mula memperlahankan aktiviti seninya.
“Selepas berkahwin saya memang bercita-cita untuk menjadi suri rumah dan membesarkan anak-anak. Itu impian saya.
Namun saya tidak meninggalkan terus dunia seni. Saya banyak bekerja di belakang tabir membantu ibu mentua dan arwah suami.
“Selebihnya saya fokus membesarkan anak-anak kerana saya tidak mahu kehilangan momen melihat mereka membesar depan mata.
Kerja keras demi anak
Ketika sesi temu bual ini dilakukan, Farah baru sahaja tiba dari Kelantan menjalani penggambaran sebuah telefilem selama seminggu.
Sebelum itu dia rancak menjalani penggambaran sebuah filem, selain aktif mengajar di kelas lakonan miliknya.
Kongsi Farah, sejak arwah suami tercinta meninggal pada 2019 akibat lemas ketika memancing di Kuala Lipis, Pahang, dia bekerja keras mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak.
Apa-apa sahaja kerja yang saya boleh buat saya buat, berlakon, mengajar, kerja belakang tabir termasuk jual produk seni hasil tangan saya sendiri.
“Alhamdulillah rezeki Allah sentiasa ada untuk saya dan anak-anak. Walaupun kadangkala terasa sangat penat, tetapi anak-anak buat saya kuat.
Sewaktu bapa mereka meninggal dunia, saya lihat sendiri bagaimana mereka begitu kuat menerima berita itu. Kekuatan itulah yang menguatkan saya sehingga hari ini.
“Kalau orang lain mungkin sudah menangis meraung bila tahu bapa mereka tiba-tiba meninggal dunia. Tetapi mereka menghadapinya dengan tenang dan tabah. Saya bertuah memiliki anak-anak seperti mereka,” kongsinya.

MENGGALAS tugas sebagai ketua keluarga selepas suami tercinta meninggal dunia, Farah sanggup bekerja keras demi membesarkan anak-anak dengan sempurna.
Tahun ini merupakan tahun ketujuh dia sekeluarga hidup tanpa figura suami dan bapa. Namun kata Farah, dia dan anak-anaknya tidak pernah berasa kehilangan.
Kami rasa seperti dia masih ada bersama kami. Kadang-kadang bila saya balik kerja, saya akan mengadu seperti dia ada di sebelah.
“Tapi saya tak pernah salahkan Tuhan apabila suami ‘diambil’ awal.
“Saya dah puas menangis sehari sebelum arwah ditemui. Saya minta kepada Allah supaya arwah ditemui. Allah beri apa yang saya minta. Jadi saya reda dan teruskan hidup,” ujarnya.
Impian jadi sutradara
Beralih tentang impian masa depan, Farah berharap agar satu hari nanti dapat duduk di kerusi pengarah seperti arwah suami dan ibu mentuanya.
“Memang saya teringin sangat nak jadi pengarah. Tetapi buat masa ini saya bantu anak terlebih dahulu. Mereka belajar dalam bidang perfileman dan teater. Jadi saya banyak memberi ‘input’ kepada mereka.
Anak-anak terpaksa berdepan dengan kritikan isu nepotisme terutamanya Mhia. Ramai cakap dia dapat jadi pelakon sebab ada kabel. Mereka ada mengadu dengan saya.
“Tetapi saya beritahu mereka, saya minta maaf. Bukan sengaja saya lahirkan mereka sebagai anak orang seni. Nak tak nak kita kena teruskan.
“Memang mereka lahir dalam keluarga seni. Kenapa harus kita tunduk dengan perkara yang tidak sepatutnya.
“Anak-anak memang didedahkan dengan seni sejak kecil . Saya hantar mereka ke kelas balet untuk membina keyakinan diri.
Dari dalam perut lagi mereka dah terlibat dengan dunia teater,” kongsinya.
Selain teringin bergelar pengarah, pelakon filem Mat Kilau itu juga berharap diberikan tawaran berbeza berbanding lakonan terdahulu.
Wajah saya sinonim dengan watak berat. Jadi orang kampung, Orang Asli, orang yang duduk dalam hutan atau bomoh.
“Walaupun berkali-kali bawa watak yang sama, saya tak pernah rasa lakonan saya stereotaip. Setiap latar belakang watak dan penceritaan berbeza.
Tetapi sejujurnya saya teringin bawa watak berlainan seperti wanita moden ataupun gengster.
“Saya pun tak tahu kenapa pengarah atau penerbit takut nak berikan saya watak glamor dan moden.
“Mungkin sebab wajah saya bukan pan-Asia. Wajah saya eksotik sikit. Sebenarnya saya boleh sahaja berlakon watak moden, nama pun pelakon.
“Alhamdulillah baru-baru ini saya ada dapat tawaran filem membawakan watak pegawai polis moden. Akhirnya!,” jelasnya.

FARAH mendambakan karakter yang tidak lazim dijayakannya sama ada menerusi layar lebar mahupun televisyen seperti wanita gengster dan peranan watak utama.
Disangka garang
Bercakap tentang wajah, kongsi Farah, ramai penggiat seni terutamanya pendatang baharu takut dengannya kerana menyangka dia garang dan serius.
Orang ingat saya garang dan menakutkan. Sampai ada yang takut nak bercakap dengan saya. Tetapi sebenarnya saya seorang yang ceria dan ‘gila-gila’.
“Mungkin ada kebaikannya juga bila orang rasa takut agar mereka tidak pijak kepala dan menghormati kita,” jelasnya menggulung perbualan.
Dalam perkembangan lain, Farah bakal muncul dengan telefilem Doa Sang Pendosa yang akan ditayangkan pada Aidilfitri menerusi saluran Astro.
Telefilem arahan Issey Fazlisham tersebut menggandingkannya dengan bintang-bintang hebat tanah air seperti Datuk Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar dan Nadia Aqilah. – HIBGLAM
