Manisnya #QuelaFaz, berulangkah sejarah rakan sekerja?

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, banyak syarikat fesyen dan tekstil mengambil langkah berani menjadikan nama-nama besar dalam industri seni tanah air sebagai duta jenama pakaian mereka.

Sejak tahun lalu, fenomena tersebut makin menjadi-jadi apabila beberapa nama hebat seperti Fattah Amin, Elly Mazlein, Beto Kusyairy, Bella Astillah dan Amira Othman dilantik menjadi duta beberapa jenama pakaian pada musim raya.

Bukan sahaja keuntungan syarikat meroket tetapi populariti diraih golongan selebriti tersebut turut meledak dalam media sosial.

Namun, di sebalik pelantikan sebagai duta, muncul pula satu lagi trend iaitu ‘kenen-kenenkan’ mana-mana artis yang single menjadi pasangan sebenar.

Terbaharu, nama Fazura dan Que Haidar yang menjadi duta Jakel tahun ini pula meledak sehingga menjadi bualan hangat netizen dalam media sosial.

Semuanya terjadi selepas mereka dilihat kerap muncul berdua, berpakaian warna senada dan disatukan dalam beberapa konten media sosial Jakel.

Bagi bunga, artis ‘level tinggi’

Melihat keakraban Que dan Fazura, ramai mendakwa semua yang dipaparkan hanya semata-mata demi kandungan media.

Namun, ada juga peminat taksub ‘naik gila’ bersunggguh-sungguh ingin melihat Fazura dan Que benar-benar bercinta secara realiti.

Tidak salah pun permintaan tersebut memandangkan Fazura dan Que atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar kini berstatus ibu serta bapa tunggal.

Bagi peminat, Que merupakan seorang lelaki ‘gentleman’ dan momen paling mencairkan hati ramai apabila dia muncul membawa sejambak besar bunga mawar merah jambu buat Fazura baru-baru ini.

Bukan sahaja Fazura, Fatima Aisya turut menerima bunga dan permainan daripada bintang filem Rock itu, sekali gus meletakkan satu dimensi baharu Que sebagai seorang lelaki.

Momen semanis madu sebegitu membuatkan media sosial sejak beberapa minggu lalu tidak pernah sepi dengan cerita mereka sehingga wujud singkatan #QuelaFaz.

Semakin menghangatkan keadaan apabila mereka sama-sama muncul mengunjungi bazar Ramadan di ibu negara, selain saling berbalas komen dalam platform Threads.

“Penat nak senyum depan telefon setiap hari tengok kemanisan Fazura dan Que.

Kira jadilah ini, sekufu dan dua-dua artis ‘level tinggi’, padan dah.

“Seronok tengok mereka, Que lelaki ‘gentleman’, manakala Fazura pula sangat menghargai,” komen peminat.

Meski melihat lambakan komen ‘restu’ daripada peminat, Que dan Fazura masing-masing setakat ini masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menafikan atau mengiyakan.

Tidak terhenti setakat itu, peminat juga menyifatkan Que sebagai lelaki bertuah kerana berpeluang mendekati wanita sehebat Fazura.

“Gembira sebab Fazura tak pernah membuat konten sebegini dengan mana-mana lelaki.

Memang Que bertuah, dia nampak saja tegas tetapi hatinya lembut, tolong kami bahagiakan Fazura,” ujar seorang peminat.

Sekiranya semua ini sekadar konten promosi, pastinya ada yang kecewa tetapi itulah realiti dunia hiburan. Gimik adalah permainan dan acah-acah cinta lokasi harus dihadam semua.

Buat masa ini mereka barangkali sekadar rakan sekerja tetapi siapa tahu takdir Tuhan, mungkin boleh jadi di luar jangkaan satu hari nanti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok