‘Terjumpa di kedai makan, dari teman duet jadi isteri’

BERTEMU tanpa sengaja di kedai makan, penyanyi Hafiz Suip tidak menyangka pencarian teman duet bagi konsert di Sarawak pada 2024 menjadi detik perkenalan dengan Fiona Saffiya yang kini menjadi isterinya.

Hafiz atau nama lengkapnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 36, mengakui tertarik dengan nyanyian Fiona yang menyampaikan lagu Ku Akui, sekali gus terdetik mengambil wanita terbabit sebagai pengganti Adira.

“Perkenalan kami bermula dua tahun lalu sebelum berlangsungnya Konsert Hafiz Suip-Perjalananku di Kuching pada Oktober 2024. Waktu itu saya memang nak cari pengganti Adira yang tidak dapat beraksi pada konsert tersebut.

“Kebetulan saya singgah di sebuah kedai makan dan terdengar seorang wanita menyanyikan lagu Ku Akui. Suaranya sangat sedap. Saya dimaklumkan dia juga seorang penyanyi popular di Sarawak.

“Asalnya saya tak percaya. Terus cari namanya di internet dan pelawa dia jadi penyanyi undangan. Kemudian kami berkawan. Tak sangka akhirnya disatukan sebagai suami isteri,” katanya selepas pelancaran lagu Yang Engkau Mahukan di Hotel St. Giles Boulevard, semalam.

Menurut bapa dua anak itu, sikap prihatin serta keakraban Fiona dengan ibunya, Allahyarham Halizawati Salleh antara faktor membuatkan pintu hatinya semakin terbuka menerima wanita terbabit dalam hidupnya.

“Keistimewaan yang ada pada Fiona adalah sikap ambil peduli serta tahu macam mana nak kawal lelaki seperti saya, malah dia juga sangat rapat dengan ibu saya.

“Alhamdulillah, sebenarnya ini pun restu arwah ibu juga. Fiona memang rapat dengan arwah ibu kerana sudah lama kenal. Mereka jumpa kembali dan akrab semula sehinggalah sebelum ibu meninggal dunia November lalu.

“Masa awal perkenalan pun perkara pertama yang saya lakukan adalah bawa Fiona bertemu dengan ibu, syukur ibu bagi restu,” ujarnya.

Mengenang memori sebelum kembali bergelar suami, Hafiz mendedahkan arwah ibunya turut meluahkan hasrat untuk melihat dia dan Fiona disatukan segera.

“Seperti yang pernah saya katakan, ibu adalah keutamaan saya. Waktu itu ibu berpesan, ‘kau ni tengah dalam proses cerai, jadi kena buat betul-betul’.

“Maksudnya, ibu mahu saya lakukan dengan cara yang betul iaitu bernikah.
Sebab itu saya beritahu Fiona, kita kena tunaikan permintaan ibu.

“Sepatutnya tarikh nikah kami pada tarikh lahir ibu iaitu 15 Februari, tetapi ayah pesan jangan melewat-lewatkan pernikahan, jadi kami pilih 13 Februari,” katanya.

Pada 13 Februari lalu, Hafiz kembali sah bergelar suami kepada Fiona, 39, dalam majlis yang berlangsung di sebuah dewan di Petrajaya, Kuching.

Sebelum ini Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan Nureffy Jasreel pada 14 Mei 2016 dan memiliki dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyahd Zafri, 9, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5 tahun. Mereka bercerai pada Mei 2025.

Manakala, Fiona juga pernah berkahwin dengan lelaki tionghua dan dikurniakan tiga cahaya mata sebelum berpisah lima tahun lepas. Penyanyi berketurunan Bidayuh ini mengucap syahadah pada Disember 2025. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok