DILABEL muka bersepah dalam stesen televisyen, pelakon Zarynn Min mengakui dihantui rasa bimbang dakwaan itu menjejaskan kelangsungan kerjayanya.
Zarynn atau nama asalnya Noraszarinawati Tumin, 46, berkata, istilah ‘bersepah’ yang merujuk kepada kekerapan wajahnya muncul di skrin televisyen dikhuatiri akan membuatkan pihak stesen TV tidak lagi berminat menawarkan pekerjaan kepadanya.
“Kalau berpegang pada yang dia sebut (bersepah), saya risaulah.
“Bimbang sebab nanti ada fkir saya terlebih guna dan itu akan memberi impak terhadap stesen televisyen.
“Maknanya kalau kata projek seterusnya ada orang nak cadangkan nama saya, mereka tak nak sebab alasan ‘overused’. Itulah paling saya risaukan tapi tak apalah, saya doa banyak-banyak agar tak jadi begitu,” katanya kepada HibGlam pada tayangan perdana filem Amir Amira, semalam.
Dalam masa sama, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu menzahirkan rasa terharu masih ada generasi muda menghargai bakatnya meski industri seni kini dibanjiri ramai pelakon baharu.
“Walaupun saya dah ‘warga emas, warga purba’, apabila dapat komen macam itu, saya terharu.
“Terutama kalau generasi muda macam kalian yang menghargai bakat ini, saya terharu tapi bukan mendabik dada.
“Nak kekal dalam era sekarang bukan senang apatah lagi banyak wajah baharu,” ujarnya.
Sambung Zarynn, dia tidak ambil hati apabila ada mempertikai kekerapan wajahnya muncul di kaca TV disebabkan siaran ulangan drama lama yang pernah dibintangi sebelum ini.
“Secara peribadi tidaklah (terasa) sebab itu sebenarnya ayat-ayat slang kan. Cuma macam saya cakap impak dia takutlah stesen televisyen akan cakap saya ‘overused’.
“Sedangkan projek-projek tersebut kadang-kadang beberapa tahun lepas, ulang balik,” tambahnya.
Sebelum ini, seorang individu mempersoalkan kekerapan Zarynn muncul di TV dan malabelnya wanita itu ‘bersepah’.
Bagaimanapun, rata-rata netizen mempertahankan Zarynn dengan mengatakan dia pelakon yang hebat apabila berjaya menyempurnakan setiap watak dengan baik. – HIBGLAM
