PENGACARA Nabil Mahir memaklumkan isterinya juga penyanyi, Ayda Jebat menjalani prosedur menjahit semula jahitan pembedahan bersalin anak ketiga yang mengalami kebocoran sehingga bernanah baru-baru ini.
Menurut Nabil, jahitan pembedahan tersebut perlu dijahit semula berikutan Ayda bertegas mahu menyertai Celebfest Singapore pada Jumaat ini.
“Kalau nak pergi, kena jahit. Itu yang doktor beritahu selepas Ayda tetap berkeras mahu terbang ke Singapura.
“Pada awalnya, doktor sudah maklumkan tak perlu jahit semula sebab luka tersebut sedang sembuh dengan baik.
Namun, dia sudah berjanji untuk bertemu peminat di Singapura dan memilih untuk menahan sakit semata-mata mahu memastikan dia tetap hadir. Baginya peminat paling utama,” katanya menerusi Instagram.
Sebagai suami, Nabil mengakui tidak sanggup melihat isterinya menanggung kesakitan.
“Hati saya terluka melihat pergerakannya. Dia masih dalam proses penyembuhan dan perlu menahan sakit. Walaupun adakalanya dia tidak mengadu, tetapi saya tahu.
“Saya melihat kekuatan di sebalik senyuman, pengorbanan yang orang tidak nampak dan inilah wanita yang saya kagumi,” katanya lagi.
Nabil juga berharap orang ramai yang bertemu dengan Ayda di acara tersebut memahami keadaan kesihatannya ketika ini.
Jika anda hadir, harap dapat layan dengan lebih lembut.
“Dia melakukan semua ini dengan tubuh yang masih belum sembuh sepenuhnya dan semangat yang kuat,” katanya lagi.
Terdahulu, Nabil memaklumkan Ayda mengalami komplikasi pada bahagian jahitan di perutnya selepas melahirkan cahaya mata ketiga, Anggun Mikayla pada 26 Januari lalu.
Katanya, bahagian jahitan itu dikatakan sedikit terbuka dan bernanah sehingga mereka perlu ke hospital untuk membersihkannya.
Nabil dan Ayda mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ana Nayla, Aali Mateen dan Anggun Mikayla. – HIBGLAM
