‘Dia penyayang, beradab, tak pernah tinggi suara’

PELAKON Amyza Aznan menyifatkan anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail sebagai insan berhati lembut dan penuh adab, malah tidak pernah meninggikan suara sepanjang hayatnya.

Amyza, 49, berkata, sikap baik arwah bukan dibuat-buat sebaliknya sudah sebati sejak kecil hingga ke akhir hayat.

Tak ada ibu yang tak puji anak, tetapi saya puji dia sebab memang itu peribadinya. Dia tak pernah melawan atau meninggikan suara.

“Dengan adik-beradik pun tak pernah bergaduh atau berkasar. Tiga beradik ini sangat penyayang dari kecil sampai besar,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Andre di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang, hari ini.

Lebih menyentuh hati, pelakon Mat Despatch itu berkata, sikap menghormati orang lain kekal dalam diri Andre meski ketika berada dalam keadaan nazak.

“Walaupun waktu itu dia sudah terlalu lemah, tenaganya hampir tiada.

Tapi setiap kali orang panggil namanya dan beritahu ada tetamu datang, dia cuba angkat kepala kerana mahu menghormati orang.

“Itulah Andre Mikhail, sampai saat akhir pun tetap jaga adab,” ujarnya.

Perit ditelan, Amyza mengakui pemergian anak tersayang pada bulan Ramadan memberi sedikit ketenangan di sebalik duka mendalam.

“Macam-macam bermain dalam fikiran saya, tetapi dia pergi pada bulan mulia.

Dia tinggalkan terlalu banyak kebaikan untuk saya, untuk adik-beradik dan juga kawan-kawan.

“Banyak perkara baik kami tumpang daripada dia. Kenangan itu akan saya simpan sampai bila-bila,” tuturnya.

Untuk rekod, Andre menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada Isnin lalu, pukul 10.15 malam selepas setahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok