‘Saya lebih rela gigi kuning tapi original, bersih, kuat’

PENYANYI Farahdhiya berang apabila segelintir individu melemparkan komen mempersoal giginya yang kelihatan semakin kekuningan dalam media sosial baru-baru ini.

Terkilan dengan komen tersebut, Farahdhiya, 41, menegaskan warna tersebut adalah asli dan memilih untuk tidak melakukan sebarang rawatan terutama veneer semata-mata mahu mendapatkan gigi lebih putih.

“Ada seorang hamba Allah SWT komen dalam Instagram saya, dia tanya ‘kenapa gigi awak kuning?’

Dan jawapan saya, ‘gigi saya original bukan palsu, memang keturunan warna tak berapa putih.’

“Saya tak berminat nak buat veneers kerana tiada yang hendak disorokkan dan bersyukur dengan semua dimiliki,” katanya dalam platform Threads.

Dia juga menasihatkan individu tersebut agar menjaga diri sendiri sahaja berbanding mencampuri urusan hidup orang lain.

Saya ingat bulan puasa ini semua syaitan diikat. Mungkin yang kurang ganas dan lebih kecil masih ada lagi.

“Seperti awak sibuk mencari kesalahan org lain. Tolong cari kehidupan sendiri,” katanya lagi.

Tidak berakhir di situ, menerusi perkongsian berbeza, dia menyelar sikap mana-mana individu yang suka menghina dan merendah-rendahkan orang lain.

Tuhan sudah cipta masing-masing cukup sempurna,belajar bersyukur untuk semua yang kita ada. Bukan semua orang ada gigi putih, kalau gigi awak warna ungu, itu perlu dirisaukan.

“Cukup-cukuplah perangai manusia yang suka bersembunyi di belakang profil palsu semata-mata nak menghina, cari kesalahan orang lain.

“Itu kerja pengecut. Lebih baik cermin diri sendiri dan betulkan perangai busuk masing-masing. Ramai yang sakit dalam kepala dan itu perkara paling berbahaya, semoga cepat sembuh!” ujarnya.

Dalam pada itu, dia memberitahu pernah membuat rawatan pemutihan gigi namun dianggap membazir kerana tidak bertahan lama disebabkan faktor pemakanan.

“Saya lagi rela warna gigi kuning sikit tapi original, bersih dan kuat. Pernah cuba buat pemutihan tetapi hanya bertahan dua minggu saja, lepas dah minum dan makan macam-macam, membazir buat.

Akhirnya, doktor gigi sendiri cakap memang tidak tahan lama pun. Daripada buat veneer sampai mulut jadi busuk tanpa kita sedar, gigi tebal pelik dan banyak juga yang jadi jonggang, penangan nak gigi putih macam dinding.

“Tapi ada juga yang buat nampak cantik, nasib masing-masing la ya. Kesimpulannya, biar gigi kuning tapi mulut tak jahat,” kongsinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok