PELAKON Mimi Lana meluahkan rasa cemburu terhadap pemergian abangnya, Muhamad Sharul Affandy Zainal Abidin kerana berlaku dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 31, percaya kurniaan pengakhiran yang indah itu merupakan cerminan kebaikan yang dilakukan Allahyarham sepanjang hayatnya.
“Ya Allah, kalau suatu hari nanti aku pergi, ambillah aku seperti mana kau ambil abangku Muhamad Sharul Affandy.
Aku sangat mencemburui kepergiannya di bulan yang mulia ini. Pasti ada asbab kebaikan yang dibuatnya sehingga Kau mengangkat tinggi darjat kepergiaannya ini.
“Dia pergi di bulan yang baik di mana bulan yang kau tutup pintu api neraka serapat-rapatnya, tidak ada satu pun yang berasa susah dengan pemergiannya,” katanya dalam Instagram.
Menceritakan detik terakhir pengurusan jenazah, isteri kepada pelakon Syafiq Kyle itu mengakui jenazah abangnya kelihatan begitu tenang dan sangat mudah diuruskan.
“Terima kasih Ya Allah kau telah pinjamkan sebentar manusia yang baik ini kepadaku dan kepada semua orang sekelilingnya.
Muka abang macam tidur saja semalam, abang mudah sangat sangat diuruskan. Masih tak percaya abang dah tak ada.
“Semua orang tunggu lama dekat kubur tak nak balik sampai kami semua diminta pulang sebab dah terlalu lewat. Adik percaya abang sekarang dah ada dekat syurga, Allah sayang abang,” kongsinya.
Pada masa sama, Mimi tekad untuk meneruskan tanggungjawab abangnya selain meluahkan rasa rindu terhadap insan tersayang itu.
“Allah lebih mengetahui. Adik janji akan ambik tanggungjawab yang abang dah galas selama hari ini dengan sebaik-baiknya.
Seorang abang, suami, anak, kawan dan manusia yang baik. Syurga tempat yang terbaik untuk abang sebab itu Allah ambil abang.
“Adik sayang abang sangat-sangat, insya-Allah kita jumpa lagi dekat sana nanti okey? Adik ada banyak benda lagi benda nak mengadu dekat abang, rindu sangat,” jelasnya.
Semalam, Mimi berkongsi berita duka abang kandungnya meninggal dunia dan memohon orang ramai menghadiahkan doa buat arwah. – HIBGLAM
