SENTIASA ada di saat susah senang, kehadiran selebriti versatil Didie Alias menziarahi putera sulung pelakon Amyza Aznan iaitu Andre Mikhail yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat kanser paru-paru hari ini mengundang sebak ramai.
Menerusi video yang dimuat naik Didie, 55, di Instagram miliknya, pelakon itu dilihat erat Amyza sebagai tanda sokongan kepada rakan seperjuangan yang kini berdepan dugaan apabila dua anaknya disahkan menghidap penyakit kanser.
Didie juga dilihat tidak dapat menahan sebak ketika memeluk Amyza selain meminta orang ramai terus mendoakan kesihatan Andre.
“Mohon doa buat Andre Mikhail,” katanya ringkas.
Rata-rata netizen yang menonton video tersebut tidak dapat menahan sebak selain mendoakan agar Amyza diberikan kekuatan luar biasa.
Sebelum ini, Amyza menzahirkan rasa terharu apabila Didie memulakan gerakan kutipan sumbangan buat dua anaknya, Andre dan Adrian Adam.
Semalam, Amyza mengejutkan ramai apabila memuat naik beberapa hantaran meminta orang ramai mendoakan Andre selain memohon pertolongan sekiranya terdapat ikhtiar lain termasuk rawatan alternatif dari jauh untuk menyembuhkan anaknya itu.
Dia juga memaklumkan hari ini akan membawa Andre pulang ke rumah.
Terdahulu, sekitar tahun lalu, Amyza mengesahkan Andre, 20, menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Amyza seterusnya sekali lagi diuji pada Ramadan tahun ini apabila anak keduanya, Adrian, 18, pula disahkan menghidap kanser tulang. – HIBGLAM
