‘Terima kasih sahabatku, diam-diam kau buat kerja’

PELAKON Amyza Aznan terharu dengan sokongan rakan selebriti terutama Didie Alias kerana memulakan kutipan sumbangan untuk dua anak lelakinya iaitu Andre Mikhail, 20, dan Adrian Adam, 18, yang disahkan menghidap kanser.

Menurut Amyza, 51, tindakan Didie adalah di luar pengetahuannya dan segala budi baik sahabatnya itu hanya mampu dibalas Allah SWT.

Kepada sahabatku Didie Alias, diam-diam kau buat kerja ya. Pandai mengaburi mata saya.

“Apa pun terima kasih di atas perkongsian dalam Instagram,” katanya dalam InstaStory hari ini.

Dalam masa sama, dia juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan sumbangan kepada akaun bank dua anaknya.

“Kepada sesiapa sahaja yang berniat dan telah menghulurkan niat anda itu kepada akaun anak-anak saya, hanya Allah SWT yang akan membalas dengan balasan terbaik dan terhebat,” katanya lagi.

Berkongsi perkembangan kesihatan anaknya, dia dalam siaran langsung TikTok hari ini memberitahu Andre yang menghidap kanser paru-paru masih menjalani rawatan kemoterapi.

“Andre sedang kemoterapi dan tidak lama lagi Adrian. Tapi apa pun jutaan terima kasih yang tidak terhingga untuk doa kalian semua.

Sebab doa kalian, anak-anak saya hari ini sudah ceria begini. Dia pun (Andre) tidak lama lagi akan tanggalkan oksigen, Alhamdulillah,” kongsinya.

Dalam pada itu, dia menegaskan siaran langsung tersebut dibuat bukan kerana inginkan hadiah atau ‘gift’ daripada netizen sebaliknya sekadar untuk memaklumkan keadaan kesihatan terkini dua anak lelakinya.

“Apa pun terima kasih atas semua ‘gift’ (siaran langsung TikTok). Sebab itu saya tak mahu buat ‘live’ sebab takut orang ingat saya nak ‘gift’.

“Cuma saya bersiaran langsung sebab nak maklumkan keadaan terkini anak-anak saya yang saya tahu terlalu ramai yang nak tahu,” ujarnya.

Semalam, Didie Alias dalam satu hantaran Instagram memuat naik kod QR akaun bank milik Andre dan Adrian untuk mana-mana pihak menyalurkan sumbangan.

Tahun lalu, Amyza mengesahkan Andre yang juga anak sulungnya menghidap kanser paru-paru tahap tiga.

Lebih mengejutkan ramai, pada Ramadan pertama dia sekali lagi diuji dengan perkhabaran menyayat hati apabila anak keduanya, Adrian disahkan menghidap kanser tulang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok