GENAP seminggu aktres Puteri Balqis mengumumkan mahu membuka buku baharu, sisa kemelut zaman kanak-kanaknya dengan pelakon Mia Sara kembali memanas.
Situasi hangat tercetus selepas Mia atau nama lengkapnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 20, berkongsi video penjelasan isu membabitkan permasalahan mereka berdua.
Menegaskan hanya pernah bertemu Puteri Balqis atau Aqish sekali berumur tujuh tahun, Mia mendakwa, pelik dicop sebagai pembuli selain tuduhaan lain seperti memperlekehkan ibu aktres terbabit, Norashikin Mohd Aziz.
Saya hanya berjumpa dia sehari dan sekali saja seumur hidup. Selepas itu tidak pernah berhubung sejak umur tujuh tahun hingga 21 tahun.
“Saya tak pernah buli Puteri Balqis atau ibu dia. Tuduhan itu sangat berat terhadap saya,” luahnya dalam sebuah video amaran dalam media sosial.
Kata Mia, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap semua pihak terlibat, termasuk mereka yang meninggalkan komen melampau.
Menyingkap semula kontroversi membabitkan kedua-dua bintang remaja itu sekitar akhir Januari lalu, hakikatnya wujud dua kem namun ramai netizen lebih cenderung menyebelahi Puteri Balqis.
Bahkan, kelompok selebriti yang menzahirkan pandangan atau tumpang melemparkan teguran turut terkena tempias amarah pemerhati isu ini.
Boleh dikatakan satu demi satu dakwaan disenaraikan Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Televisyen Asia (ATA) 2014 itu semakin menjadi perdebatan maya.
Apatah lagi ‘lawannya’ hanya mendiamkan diri daripada membalas hujah sebelum tampil mengakui terlanjur menulis kenyataan yang kedengaran negatif dalam program audio siar Kita Kita Aje kendalian Datuk Aznil Nawawi.
Biar apa pun respons netizen, tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa kontroversi Aqish-Mia menjadi medan polemik membabitkan isu buli dalam industri hiburan tanah air.
Secara positifnya hal dibangkitkan Puteri Balqis menjadi peringatan agar jangan membudayakan buli biarpun pada masa sama suara Mia juga wajar didengar sebelum dijatuhkan sebarang hukuman.
Cuma sayangnya, ketika isu berkenaan masih diperdebatkan dengan pelbagai teori serta cerita tambahan muncul, Mia serta pasukannya hanya membungkam dengan alasan mahu tunggu dan lihat.
Buat ‘drama’
Hanya pada Selasa lalu, barangkali segala bukti sudah ada berjaya dikutip, pelakon drama Strawberi & Karipap itu tampil bertegas sedia bersemuka empat mata.
Dia sekat dan saya rasa dia dah tak nak ada kena mengena dengan saya. Jadi saya hormat perkara itu. Pihak saya dah hubungi, dia tidak beri apa-apa respons.
“Jadi saya tak tahu dia nak maaf, berjumpa seperti dikatakan atau sengaja buat drama untuk buat nama saya buruk,” tuturnya.
Ketika artikel ini ditulis, Puteri Balqis belum memberikan sebarang maklum balas tetapi ramai mendoakan kedua-duanya mendapat pengakhiran yang baik.
Sama-sama terjun ke arena seni pada usia muda, sama ada Puteri Balqis dan Mia Sara memiliki keistimewaan tersendiri malah semestinya mempunyai pengalaman luas.
Dunia hiburan tanah air juga tidak sebesar mana, diharap individu sekeliling turut memainkan peranan penting agar segala perseteruan lalu dapat diredakan. – HIBGLAM
