PENYANYI Syasya Rizal mencuri perhatian ramai apabila meluahkan pandangan tentang fenomena membeli baju raya terlalu awal sehingga seakan-akan mengaburi makna sebenar Ramadan.
Ujar Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 25, persiapan luaran bukan satu kesalahan, namun apa lebih penting ialah kesiapsiagaan hati dalam menyambut bulan penuh keberkatan.
“Tahun ini nampak ramai sudah siap beli baju raya sebelum puasa bermula. Ada kata tidak menghormati, ada pula anggap perkara biasa.
“Tak salah pun, cuma kadang-kadang terfikir, kita boleh siapkan pakaian lebih awal, tetapi hati itu sempat atau tidak kita siapkan?” katanya dalam Threads.
Tambah bekas anggota Dolla itu, Ramadan seharusnya menjadi ruang muhasabah diri, bukannya sebuah perlumbaan menyiapkan persiapan Aidilfitri.
“Ramadan bukan tentang siapa paling cepat bersedia untuk hari raya. Yang selalu tertinggal bukan persiapan luar.
“Tetapi hati yang diam-diam masih mencari arah,” ujarnya.
Paling penting, Syasya turut menitipkan pesanan buat mereka yang sedang melalui fasa perubahan diri agar tidak terlalu terikat dengan tekanan media sosial.
“Kalau awak sedang melepaskan versi lama diri, belajar kenal siapa diri sebenar.
“Buat semua itu tanpa sibuk mengejar perhatian di media sosial. atau menjadi versi paling mudah diterima algoritma, jangan tunggu nanti. Mulakan sekarang,” tuturnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya bersetuju selain mengakui sering terleka dengan persiapan zahir sehingga terlupa persediaan rohani.
Namun, terdapat juga segelintir yang berpendapat membeli kelengkapan raya awal sekadar soal perancangan dan tidak wajar dipersoalkan selagi tidak melalaikan ibadah. – HIBGLAM
