PELAKON Qi Razali kini bergelar bapa selepas isterinya, Wardah Hayati selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka pada 23 Januari lalu.
Qi atau Qushairi Mohammed Razali, 49, yang menggelarkan dirinya sebagai ‘babah’ berkongsi berita gembira itu menerusi Insta Story.
“Assalamualaikum princess (puteri) babah,” tulisnya ringkas pada foto gambar bersama si kecil.
Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM34) itu bagaimanapun menutup wajah bayinya dengan emoji kartun.
Menerusi hantaran tersebut Qi dengan wajah bangga, tersenyum sambil mendukung erat anaknya itu.
Sementara itu, menerusi perkongsian isterinya pula, mereka sepakat menamakan permata hati Anggun Sumayyah.
Menerusi carian, nama pilihan pasangan itu bermaksud cantik serta kebanggaan.
Sebelum ini, Qi dalam satu wawancara pernah memaklumkan dia dan isteri memilih nama klasik buat zuriat mereka.
Terdahulu, pelakon filem Babah itu mendirikan rumah tangga dengan Wardah pada 25 Mei 2025. – HIBGLAM
