PENYANYI Shiha Zikir meluahkan rasa kecewa terhadap sikap seorang pelatih industri di syarikat miliknya apabila individu terbabit didakwa tidak menunjukkan disiplin serta etika kerja memuaskan.
Ujar Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd. Zikir, 38, sepanjang mengendalikan perniagaan sendiri, pengalaman berdepan pelatih sebegitu merupakan kali pertama berlaku dan cukup menguji kesabaran sebagai majikan.
“Sejak ada syarikat, ini kali pertama saya dapat intern selalu lambat. Ambil kunci pejabat konon nak datang pagi, tapi muncul petang.
“Masuk bilik CEO sesuka hati, staf lain pula terpaksa tunggu dia. WhatsApp tak balas, telefon pun tak berjawab. Soalan kegemaran pula, ‘dah boleh balik belum?’,” katanya dalam Threads.
Lebih mengecewakan kata pelantun Irama itu, pelatih tersebut didakwa gagal memberi sebarang perkembangan tugasan sebelum menghilangkan diri begitu sahaja selepas mendakwa mengalami keletihan melampau.
“Tiada sebarang kemas kini kerja. Hari ketiga tiba-tiba cakap penat melampau, kemudian terus hilang tanpa khabar berita.
“Maaf cakap, saya memang tak berkenan perangai begini,” tegasnya.
Perkongsian tersebut pantas mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen yang rata-ratanya bersetuju sikap sambil lewa seperti itu bukan sahaja menyusahkan majikan, malah mencerminkan tahap profesionalisme generasi pekerja baharu.
“Kalau masih pelatih pun sudah begitu, bayangkan bila jadi staf tetap.
“Intern sepatutnya datang belajar, bukan menyusahkan orang.
“Disiplin asas seperti menepati masa pun gagal, memang sukar untuk berjaya,” antara komen netizen.
Pun begitu, terdapat juga segelintir pengguna media sosial tampil memberi perspektif berbeza dengan mengingatkan kemungkinan pelatih terbabit berdepan masalah peribadi atau tekanan mental. – HIBGLAM.
