‘Jangan cepat koyak’ – Caprice dedah bukti selepas diancam saman Rafizi

PENYANYI rap dan pempengaruh Caprice tampil mempertahankan diri selepas diancam tindakan undang-undang oleh ahli politik, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung dakwaan melibatkan siasatan rasuah.

Tidak gentar, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 38, memuat naik beberapa tangkap layar serta dokumen menerusi Instagram Story sebagai bukti terhadap persoalan dibangkitkan sebelum ini.

Menurutnya, tindakan tersebut dibuat susulan permintaan Rafizi sendiri supaya bukti dikemukakan kepada umum.

“Sebab Rafizi minta bukti, ini dia. Takkan hanya kerana kami bertanya berdasarkan fakta, terus nak minta maaf dan saman?

“Kami cuma ajukan soalan berdasarkan maklumat sedia ada. Kenapa perlu melenting sampai mahu ambil tindakan undang-undang?

“Jangan cepat koyak dengan Caprice, bos. Ramai mahu saman bukan kerana mereka betul, tetapi mahu senyapkan suara saya,” katanya dalam Instagram.

Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu memberi amaran akan memfailkan saman terhadap Caprice sekiranya tiada permohonan maaf dibuat selepas fakta sebenar dibentangkan.

Menurut kenyataan media, isu tersebut berkait dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua dasar nasional iaitu program Silicon Vision dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) semasa beliau menjawat Menteri Ekonomi.

Rafizi memaklumkan penjelasan terperinci akan dikemukakan dalam podcast Yang Bakar Menteri pada 20 Februari ini sebelum memberi peluang kepada Caprice menarik balik kenyataan serta memohon maaf.

“Selepas fakta dikemukakan, Caprice diberi peluang berkongsi perkara sebenar kepada pengikutnya dan memohon maaf atas fitnah.

“Jika gagal berbuat demikian, saya telah mengarahkan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan tiada bukti penyelewengan dana awam atau wang disalurkan ke akaun peribadi, selain menafikan penglibatan kementeriannya dalam urusan perolehan atau kontrak.

Dalam masa sama, Rafizi menyifatkan dakwaan tersebut berbahaya kerana boleh menjejaskan imej negara serta industri semikonduktor sekiranya dilaporkan di peringkat antarabangsa.

Isu berkenaan terus hangat diperkatakan netizen apabila kedua-dua pihak saling mengeluarkan kenyataan terbuka, sekali gus mencetuskan perdebatan meluas dalam media sosial. — HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok