DALAM dilema, pelakon Diana Danielle mendedahkan anak sulungnya, Muhammad menyatakan keinginan mahu menceburi arena seni selepas kali terakhir berlakon pada usia enam tahun.
Menurut Diana atau nama lengkapnya, Diana Danielle Danny Beeson, 37, permintaan tersebut sudah kerap kali disuarakan puteranya itu mutakhir ini.
Muhammad banyak kali minta berlakon lagi. Kali terakhir dia berlakon adalah pada umur enam tahun,” katanya dalam perkongsian di pletform Threads.
Pada masa sama, pelakon filem Imaginur itu mengakui belum bersedia memberikan lampu hijau kepada puteranya atas dasar sayang.
Cuma, dia bimbang keputusan dibuat boleh mengakibatkan remaja berusia 13 tahun berasa terkongkong.
Saya tak nak izinkan. Saya mahu lindungi dia selama-lamanya tapi takut dia rasa terkekang.
“Anak lelaki 13 tahun mahu mula mencipta masalah untuk masa depannya,” ujarnya.
Hantaran berkenaan meraih perhatian netizen yang berharap Diana memberikan sokongan memandangkan Muhammad mewarisi bakat orang tuanya.
“Sebab dia ada darah seni. Terutamanya bapa dia antara pelakon terbaik di Malaysia,” tulis seorang netizen.
Sebelum ini Muhammad juga pernah membintangi filem aksi Remp-It 2 arahan bapanya, Farid Kamil.
Selain Muhammad, perkahwinan antara Diana serta bekas suaminya itu turut dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Aurora, 11. – HIBGLAM
