SUSULAN dihentam bertalu-talu, pihak penganjur Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen melibatkan Ella tampil memohon maaf susulan gangguan sistem bunyi di tingkat tiga Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.
Menerusi kenyataan bersama Hitman Solutions, Rockqueen dan Digital Aid Sdn. Bhd., konsert tersebut sebenarnya berlangsung lancar namun tercalar akibat masalah audio melibatkan sebahagian penonton.
Menurut penganjur, aduan ramai dalam media sosial mendorong mereka mengadakan mesyuarat teknikal bersama Perbadanan Stadium Malaysia, pengurusan artis serta pasukan teknikal bagi menyiasat punca sebenar kejadian.
“Konsert berjalan dengan baik, namun terdapat gangguan bunyi di tingkat tiga sehingga menjejaskan pengalaman penonton di bahagian tersebut.
Selepas menerima aduan, pasukan teknikal bergegas ke bilik kawalan SRS dan mendapati tetapan sistem telah berubah kepada mod ‘default’, tidak seperti konfigurasi asal semasa raptai,” menurut kenyataan itu.
Tambah mereka, perubahan tetapan berkenaan menyebabkan mutu audio merosot sebelum berjaya dipulihkan sepenuhnya kira-kira pukul 9.50 malam pada hari sama.
“Masalah berjaya diselesaikan pada malam tersebut dan sistem kembali berfungsi seperti biasa.
Kami memandang serius kejadian ini dan satu laporan polis telah dibuat pada 16 Februari 2026 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” jelasnya.
Dalam masa sama, penganjur turut menyatakan kesediaan untuk memberi pampasan kepada penonton terjejas, khususnya pemegang tiket kategori Bronze.
Kami memohon maaf atas kesulitan berlaku dan sedang berbincang untuk memberikan imbuhan bersesuaian kepada pemegang tiket Bronze.
“Kepuasan penonton sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujarnya.
Terdahulu, konsert berkenaan menjadi topik hangat apabila ramai penonton meluahkan kekecewaan terhadap kualiti bunyi dalam media sosial, malah ada mendakwa pengalaman menonton terganggu walaupun persembahan artis berjalan cemerlang. – HIBGLAM
