Saya jual air kelapa pandan Ramadan ini – Sophia Albarakbah

MENCUBA perkara baharu, pelakon Sophia Albarakbah bakal berniaga di bazar Ramadan dengan menjual air kelapa pandan pada bulan puasa nanti.

Menurut Sophia, perniagaan tersebut akan diusahakan bersama kakaknya bermula hari ketiga puasa di bazar Ramadan di Stadium Merdeka.

“Istimewanya Ramadan kali ini saya dan kakak akan jual air kelapa pandan. Kalau tiada penggambaran, saya akan ke bazar bantu kakak.

“Saya memang suka air kelapa sebab kurang gemar minuman yang terlalu manis dan bergula.

Selalunya di bazar biasanya air kelapa dijual dalam balang dah letak gula dan ais, tetapi kami jual yang rasa asli, lebih sihat kalau minum terus dari buah kelapa,” katanya kepada HibGlam pada sidang media kempen Jwanjih Kenyang TV3, baru-baru ini.

Katanya, dia juga mahu menyebarkan kesedaran kepada orang ramai untuk memilih minuman lebih sihat dan diyakini bersih.

Kadang-kadang saya sendiri skeptikal tentang kebersihan ais. Jadi air kelapa kami lebih sihat, elektrolit semula jadi.

“Saya juga nak galakkan orang kurangkan gula,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia terbuka menerima sebarang kritikan daripada orang ramai mengenai minuman yang bakal dijual.

Kami akan berlapang dada terima setiap maklum balas daripada pembeli, itu yang penting sebenarnya.

“Seboleh-bolehnya nak berikan servis terbaik. Saya meniaga kali ini sebab memang sangat minat air kelapa,” ujarnya.

Dia menambah, air kelapa merupakan salah satu minuman kegemarannya selain mengamalkan pengambilan air kosong.

Mana-mana yang kenal memang tahu saya suka air mineral atau air kosong saja.

“Kalau minuman berperisa pula, saya penggemar air kelapa dan suka teh, semua jenis perisa,” kongsinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok