‘Buat apa merajuk? Dari kecil sudah biasa dengan orang industri’

TERJUN dalam industri hiburan sejak kecil membuatkan pelakon Qistina Raisah kini lebih selesa meluangkan masa di arena perniagaan berbanding di hadapan cahaya lampu dan kamera di set penggambaran.

Bukan kerana merajuk atau membawa diri, namun kejayaan dalam bidang keusahawanan nampaknya lebih memikat pemilik nama lengkap Nur Qistina Raisah Mohd. Kamarol Azri itu untuk terus melebarkan sayapnya.

Qistina mengakui keputusan untuk memperlahankan rentak dalam dunia seni adalah pilihannya sendiri demi memberi ruang kepada empayar perniagaan yang sedang digerakkannya.

“Sebenarnya ya (perlahankan karier seni). Memang saya yang pilih tapi tak adalah saya tolak.

Kalau ada masa, contohnya tiada acara untuk berniaga, saya boleh berlakon.

“Tapi kalau susah macam orang tak boleh ikut saya, saya pun sama, kita terpaksa fokus perniagaan lebih sikitlah,” katanya kepada HibGlam.

Menepis dakwaan kononnya memendam ‘rasa’ terhadap industri, Qistina menjelaskan bahawa kematangan adalah kunci utama mendepani setiap khabar angin.

Tak ada lah berkecil hati dengan industri, nak buat apa merajuk? Kita kan dari kecil dah biasa dengan semua orang industri.

“Nak merajuk-merajuk ini tak matanglah. Tak ada terasa apa-apalah,” jelasnya.

Meskipun tidak merajuk, Qistina turut mendedahkan terpaksa melepaskan beberapa peluang keemasan dalam bidang lakonan ekoran tuntutan jadual yang padat.

“Ada baru-baru ini saya tolak tawaran kerja dalam dua drama dan ada juga filem sebenarnya.

Memang filem lagi penat nak ikutkan. Jadi saya berniaga sajalah.

“Saya tak ada hadkan naskhah lakonan, ikut juga. Kalau macam tak nak, memang tolak juga,” tuturnya.

Ramadan

Berkongsi mengenai perancangan Ramadan, Qistina menumpukan perhatian terhadap dunia perniagaan yang dianggap sebagai satu kembara yang menyeronokkan kerana melihat dunia dari perspektif berbeza.

“Tahun ini sangat sibuk, saya pun nanti akan ke Brunei. Jadi, memang sejak tahun lepas saya fokus dengan bisnes.

Sekarang memang lebih tumpukan fokus kepada festival makanan, jadi bulan puasa ini memang tertumpu kepada perniagaan.

“Saya rasa macam lebih seronok berniaga sebenarnya. Kita kerja tapi dalam masa sama kita tengok dunia dan jumpa orang baru, sangat seronok,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok