1
PENGHARGAAN besar buat penyanyi Indonesia iaitu Raisa apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza hadir menyaksikan konsert jelajah, Raisa Ambivert Tour yang berlangsung di Zepp, KL semalam.
Lebih mengujakan, Raisa atau Raisa Andriana, 36, mengakui berasa sangat gementar namun dalam masa sama teruja apabila menyedari figura hebat tersebut duduk di bangku penonton bagi menyaksikan persembahannya.
Saya sebenarnya tengah berdebar sebab malam ini kita ada Datuk Seri Siti Nurhaliza. Selamat datang.
“Saya terkejut bila tahu Siti tahu lagu saya,” katanya semasa konsert berlangsung.
Keadaan menjadi gamat apabila pelantun lagu Bila itu sempat berseloroh mengenai telatahnya di atas pentas yang perlu dikawal demi menjaga imej di hadapan Siti.
“Semoga saya dapat menjaga imej sepanjang persembahan, tiada jerit-jerit,” selorohnya.
Malam penuh emosi tersebut menyaksikan Raisa mempersembahkan deretan lagu daripada album terbaharunya berjudul Ambivert, selain seleksi lagu-lagu hits yang menjulang namanya di rantau ini.
Lebih istimewa, Raisa turut mengambil kesempatan mengalunkan lagu terbaharunya berjudul Ku Harap Duka Ini Selamanya yang baru sahaja dilancarkan secara rasmi semalam. – HIBGLAM
