Lan Pet Pet tak malu mengaku, Fazura pula pemaaf

MANA mungkin dunia seni sunyi dari sebarang kontroversi meskipun isunya sekadar terlepas cakap, namun jika kena ke batang hidung figura kesayangan ramai, netizen pasti tidak senang duduk.

Minggu ini, hangat isu membabitkan pelawak Lan Pet Pet yang membuat lawak berbaur lucah terhadap pelakon Fazura dalam satu sesi siaran langsung ketika kempen promosi baju raya Jakel. 

Begitupun, kontroversi jenaka lucah bukanlah perkara baharu dalam industri hiburan tempatan apabila sebelum ini beberapa pelawak pernah melakukan hal sama. 

Kisahnya bermula apabila ada netizen yang bertanya perancangan perkahwinan Nur Fazura atau mesra disapa Faz. 

Namun, Lan dengan selamba membalas pertanyaan bagi pihak Faz dengan meminta agar netizen memberi waktu kepada wanita yang baru dua tahun bercerai itu.

Namun, penggunaan perkataan seperti ‘kering’ dan ‘ketat’ mengundang kecaman ramai kerana dianggap keterlaluan dan tidak menghormati Faz sebagai wanita berstatus ibu tunggal.

Ada yang menggesa agar nama Lan dilucutkan daripada menjadi sebahagian duta pakaian tersebut atas keterlanjuran kata-katanya. 

Tidak menunggu lama, pemilik nama sebenar Mazlan Ahmad terus memohon maaf atas ketelanjurannya bergurau selain menjelaskan tiada niat menyinggung perasaan aktres itu. 

Abang Lan minta maaf daripada hujung rambut sampai hujung kaki. Dalam tidak sedar ketika sedang melawak ada perkara yang menyentuh hati dan perasaan Fazura.

“Kepada semua peminat Fazura dan kumpulan Senario, demi nama Allah Abang Lan tak ada niat apa pun. Abang hanyalah manusia biasa.

“Sekali lagi saya minta maaf. Saya terlepas cakap dan suasana ketika itu saya pun tak sedar. Maafkan saya,” katanya dalam sebuah video. 

Permohonan maaf Lan disambut baik pelakon filem Pisau Cukur itu tambahan mereka kini sebumbung bawah kontrak sebuah jenama tekstil. 

“Susuli permohonan maaf secara terbuka saudara Lan, Faz memilih untuk segera memaafkan sepertimana segera saudara Lan memohon maaf atas kekhilafan anda.

“Ini kerana walaupun hati pernah terguris, keinginan mencapai reda Allah SWT adalah lebih utama.

“Semoga kejadian ini menjadi pengajaran dan teladan buat kita semua. Mudah-mudahan. Seikhlasnya,” tulisnya.

Maaf bersemuka 

Tidak cukup dengan permohonan maaf melalui sebuah video secara terbuka, Lan juga adik ipar pelakon Rozita Che Wan tampil bersemuka dengan Fazura bagi menamatkan segala salah faham.

Dia memaklumkan apa yang diungkapkan pada sesi siaran langsung berlaku secara spontan, malah sedia belanja Fazura makan bagi menebus kesalahannya. 

“Saya minta maaf daripada hujung rambut hingga hujung kaki. Saya rasa ‘down’ sangat kerana tiada niat langsung dalam hati,” katanya. 

Fazura pula sekali lagi terbuka dengan permohonan maaf dan memaafkan dengan seikhlas hati kerana mahu bekerja dalam suasana yang baik. 

“Tak payah hujung rambut hingga hujung kaki, saya okey saja. Tak apalah sama-sama belajar daripada kesilapan. 

Saya pun ada silap juga. Apa yang penting kita bekerja dengan suasana harmoni. Kosong-kosong ikhlas daripada hati. Tapi dah maafkan, takkan kosong-kosong saja. Kenalah belanja pizza, keria, pisang goreng dan laksa,” selorohnya. 

Tiada drama, tiada perbalahan, Semua kekhilafan dapat diselesaikan hanya dengan permohonan maaf seikhlas hati. 

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Lan dan Faz terutama kepentingan berjaga-jaga dalam setiap tutur kata.

Benar, lidah lebih tajam daripada pisau. Gurauan melampau boleh mengguris perasaan orang lain. Namun, benda boleh berdamai, untuk apa pilih pergaduhan. Pujian harus diberikan kepada Fazura apabila menolak ego dan memilih segera memaafkan rakan sekerjanya tanpa perlu  memanjangkan isu.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok