SHILA AMZAH merupakan figura seni berjiwa kental, vokalnya lahir daripada pengalaman, manakala langkahnya dipacu oleh ketabahan.
Sejak usia remaja, pentas menjadi rumah kedua dan muzik sebagai bahasa hidup. Dalam diam, namanya tumbuh menjadi simbol kejujuran rasa serta keberanian menentang gelombang industri.
Hampir tiga dekad berkelana dalam dunia seni, sepak terjangnya bukan kepalang, pelbagai ranjau ditempuh demi membina nama sekukuh hari ini.
Dari pentas tempatan hingga berani merentas sempadan ke China, pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Hamzah itu membuktikan dirinya mampu menawan pasaran luar meskipun berhijab.
Berkat usaha berterusan serta doa tidak pernah putus, dia kembali diberi peluang mengukuhkan tapak di China termasuk mengadakan konsert jelajah.
Kebangkitan kali ini hadir bersama perancangan lebih tersusun dan pasukan kerja lebih kuat.
Meskipun komitmen semakin bertambah, menuntut pengorbanan besar sebagai seorang ibu dan rutin berulang-alik antara dua negara, wanita berusia 35 tahun itu menyambut kesibukan tersebut dengan penuh syukur.
Dari segi komitmen kerja, jadual sekarang memang menuntut saya berulang-alik. Biasanya dua minggu di Malaysia dan seminggu di China.
“Jika seperti dahulu, ketika masih solo dan belum bergelar ibu, mungkin saya sudah lama menetap di sana dan hanya pulang menjelang konsert.
“Sebagai seorang ibu, saya perlu berulang-alik kerana tidak boleh membawa anak-anak bersama. Jadual kerja juga padat dan saya tidak mahu membebankan mereka,” katanya kepada HibGlam.
Seperti terpijak tuah, pelantun Masih Aku Cinta itu bersyukur dengan fenomena penerimaan luar biasa dalam media sosial China.
“Alhamdulillah, sambutan di sana di luar jangkaan. Mungkin kerana rupa dan gaya nyanyian saya berbeza. Ada penonton membuat parodi serta video transisi menggunakan lagu saya.
Itu sangat mengharukan dan tidak pernah saya jangka. Kami hanya mencuba dan Alhamdulillah, rezeki masih ada,” ujarnya.
Mengulas soal impian, anak kepada penyanyi veteran Datuk ND Lala itu mengakui fokus hidup kini beralih kepada keseimbangan dan makna, bukan lagi semata-mata pengiktirafan.
“Mungkin ada beranggapan impian saya tidak sebesar orang lain. Bukan kerana sudah mencapai segalanya, tetapi kerana saya tidak lagi menjadikan anugerah sebagai sasaran utama.
“Pada usia 35 tahun, saya tidak mahu menambah hormon stres dalam badan. Apa sahaja pencapaian, walau sekecil mana pun, saya tetap bersyukur dan meraikannya.
“Apa paling penting, segala usaha saya hari ini disaksikan oleh suami dan anak-anak. Kejayaan sendirian kadangkala terasa sunyi,” luahnya.
Menyentuh jelajah konsert di China, Shila memaklumkan persembahan melibatkan beberapa bandar utama termasuk Chengdu, Guangzhou, Shanghai dan Nanjing.
Bukan itu sahaja, dia juga bakal mementaskan konsert solo sempena 25 tahun pembabitannya dalam industri seni berjudul Resonance: Shila Amzah In Harmony – 25 Years of Music & Memories di Dewan Filharmonik Petronas pada 9 Mei depan.
“Jelajah ini berlangsung selama tiga bulan dan akan berhenti seketika sempena Tahun Baharu Cina kerana semua mahu pulang ke kampung halaman. Jelajah bermula 10 Januari lalu dan dijangka berakhir pada minggu kedua April.
“Tapi buat masa ini, sekurang-kurangnya ada dua hingga tiga persembahan setiap bulan di China. Selepas tamat jelajah dan konsert di Dewan Filharmonik Petronas pada Mei depan, kami sudah menyusun perancangan untuk jelajah seterusnya.
Penat itu memang ada, tetapi saya anggap sebagai rezeki Allah. Kembalinya saya ke China bukan sesuatu mudah, namun kali ini, kemunculan semula termasuk konsert di DFP dibuat bersama pasukan lengkap,” tutupnya.
