4
PENYANYI muda Iman Darwisy tidak menolak sekiranya berpeluang merakamkan lagu duet dengan usahawan sensasi, Datuk Seri Vida.
Menurut Iman atau nama sebenarnya, Muhammad Nur’Iman Darwisy Mohd. Noorazreen, 15, yang bercita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan apabila dewasa kelak, dia kagum dengan semangat dan kreativiti wanita tersebut.
Dalam ramai-ramai usahawan, saya suka Datuk Seri Vida sebab saya rasa dia comel (ketawa).
“Kalau dia mahu berduet dengan saya di dalam lagu pun saya okey,” ujar Iman yang ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya yang berjudul Kehilangan di sini, malam tadi.
Tambah Iman, meskipun dia menyanyi sejak kecil tetapi karier nyanyian adalah sekadar hobi, impiannya adalah mahu mencipta legasi perniagaan sendiri.
“Tiada siapa yang paksa saya menyanyi dan pada usia saya sekarang nyanyian adalah sekadar hobi sahaja.
“Keutamaan saya adalah pelajaran dan impian masa depan adalah memiliki sebuah perniagaan yang berjaya,” tuturnya.
Berkongsi tentang single terbaharunya, Iman Darwisy merupakan pemenang bagi Bintang Kecil RTM 2023 peringkat Wilayah Persekutuan dan Bintang The Chosen One Extra sanggup terbang ke Indonesia untuk merakamkan lagu tersebut.
Bahkan semasa proses rakaman dijalankan, Iman terpaksa berperang dengan emosinya sendiri kerana bersedih dengan keadaan datuk tercinta yang sedang berada dalam keadaan nazak di Malaysia.
Lagu Kehilangan ini cukup dengan diri saya dan keluarga kerana semasa proses rakaman ini dijalankan saya dikhabarkan datuk sebelah ibu sedang nazak.
“Saya rapat dengannya dan dia penyokong nombor satu saya. Selesai rakaman kami segera pulang ke Malaysia dan saya sempat menatap wajahnya sebelum datuk meninggal dunia enam hari selepas kami pulang di Malaysia,” jelas Iman.
Kehilangan yang merupakan single kedua Iman adalah ciptaan sepenuhnya oleh Ilham Baso yang bertindak sebagai komposer, penulis lirik, penerbit serta penyusun muzik, manakala penerbit eksekutif adalah Noorazreen. – HIBGLAM
