KERJA lebih utama berbanding menghabiskan masa dengan orang tersayang? Penyataan tersebut kedengaran seperti klise yang sering disuarakan dalam media sosial tetapi mesej tersebut menjadi lebih menarik apabila diangkat dalam naskhah berjudul Sesaat Lebih terbitan platform penstriman Viu.
Sesaat Lebih mengisahkan perjalanan emosi Adelia lakonan Nabila Razali, seorang wanita berkerjaya yang kehidupannya terasa telah musnah apabila suaminya, Haoyu (Alvn) meninggal dunia secara tiba-tiba.
Ketika Adelia bergelut dengan kesedihan dan cuba membina semula kehidupan, kemunculan Adeef (Haziq Hussni) iaitu sahabat lama Haoyu membuka lembaran dan harapan baharu buatnya.
Tiada peluang ketiga
Menurut Nabila, drama arahan Riza Baharuddin itu mengajarnya menjadi seorang wanita, isteri dan ibu yang lebih menghargai semua perkara selagi masih bernyawa.
“Dalam drama ini saya berperanan sebagai seorang wanita ‘workaholic’ dan terpaksa menggalas tanggungjawab ketua keluarga selepas suami meninggal dunia.
Saya suka dengan mesej drama ini sebab kita selalu ambil remeh mengenai banyak perkara dalam kehidupan seharian termasuk masa dengan keluarga.
“Naskhah ini banyak mengajar saya menghargai momen-momen dengan orang yang kita sayang terutama sekarang sudah ada anak, bekerja tak tentu masa, keluar pagi balik malam dan anak dah tidur,” katanya kepada HibGlam.

NABILA menjadi individu yang semakin menghargai masa dan keluarga selepas menjayakan naskhah Sesaat Lebih.
Berkongsi lanjut mengenai naskhah tersebut, dia mengakui terkejut jalan cerita yang sepatutnya romantik dan komedi tetapi bertukar menjadi drama air mata.
“Sebenarnya sewaktu ditawarkan drama ini, saya sangka ini cerita yang ‘fun’ saja, tetapi selepas tengok balik, sebenarnya naskhah ini berat.
“Selepas drama ini, saya percaya dengan peluang kedua tetapi itu yang terakhir, kalau nak beri peluang ketiga, itu saja cari fasal.
Hakikatnya, tak perlu tunggu peluang kedua pun kalau nak berubah tetapi kita manusia yang adakalanya terlalu taksub dengan dunia, mengejar nikmat sementara sehingga terlepas pandang banyak perkara,” katanya.
Sementara itu, Haziq pula mengakui teruja apabila diberikan peluang membintangi drama tersebut di samping Nabila dan Alvn.
Ujarnya, dua pelakon itu tidak lokek dalam memberi tunjuk ajar kepadanya yang masih hijau dalam dunia lakonan.
“Paling bagus tentang Nabila dan Alvn adalah mereka tidak pernah letak diri sebagai pelakon senior. Mereka banyak beri tunjuk ajar dan berkongsi ilmu termasuk bagaimana mengawal ekspresi muka.
Nabila banyak ajar saya tentang babak menangis, dia akan menangis juga walaupun muka dia tak nampak. Bella sebenarnya kaki nangis!
“Seronok dapat bekerja dalam produksi ini, harap peluang dalam dunia lakonan itu terus terbuka untuk saya pada masa akan datang,” jelasnya.

ANGGAP diri masih mentah dalam lakonan, Haziq bersyukur digandingkan dengan Nabila dan Alvn yang tidak kedekut berkongsi ilmu di set penggambaran.
Bercerita mengenai Sesaat Lebih, penyampai radio Era FM itu mengakui drama tersebut meninggalkan impak besar terhadap dirinya sebagai seorang bapa.
“Cerita ini tentang individu yang keluar bekerja dan terpaksa tinggalkan keluarga. Realitinya situasi saya juga begitu sepanjang tempoh penggambaran.
Jadual penggambaran memang padat, selama 20 hari saya tinggalkan keluarga dan membuatkan saya rasa tak sabar nak cuti habiskan masa dengan anak-anak dan isteri.
“Drama ini ajar saya untuk lebih menghargai semua orang sekeliling kita, kalau buat salah, turunkan ego dan minta maaf. Itu antara pengajaran terbesar saya belajar daripada Sesaat Lebih,” kongsinya.
Drama terbitan Global Film Sdn. Bhd itu mula ditayangkan pada 29 Januari lalu dalam platform VIU.
Naskhah 12 episod tersebut turut dibintangi Zila Bakarin, Hawra Jamalullail dan Fahmy Reza. – HIBGLAM
