SELEPAS dihentam bertalu-talu, pelakon Daler Yusuf mengakui sudah memohon maaf secara peribadi kepada aktres Puteri Balqis susulan salah faham berhubung kenyataannya dalam media sosial, namun sehingga kini tidak menerima sebarang respons.
Menurut Daler atau nama sebenarnya Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad, 34, dia menghantar mesej secara langsung (DM) kepada Balqis bagi menjelaskan keadaan sebenar selain mengakui kesilapan sekiranya kenyataannya mengguris hati pelakon tersebut.
“Saya DM dia dan betul-betul minta maaf kalau kenyataan saya buat dia marah. Saya juga jelaskan bahawa saya sokong tindakan dia mempertahankan diri.
“Saya cuma tegur sebagai lelaki, kita tak boleh bercakap kasar dengan perempuan apabila berdepan sesuatu isu. Itu sahaja maksud saya. Kalau hantaran saya buat dia terasa, saya minta maaf dan terus padam kenyataan tersebut,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon drama Tuan Anas Mikael itu, dia tidak pernah berniat mencampuri urusan peribadi Balqis, sebaliknya hanya menyuarakan pandangan berhubung bahasa digunakan individu lain terhadap aktres tersebut.
“Saya minta maaf kalau komen saya buat dia marah. Tapi saya langsung tak sentuh isu peribadi dia.
“Saya sokong dia bersuara tentang pengalaman dibuli ketika kecil dan mempertahankan ibunya. Saya memang anti-buli. Saya tak suka tengok orang dikecam atau diperlakukan tidak adil,” ujarnya pada sidang media program Ramadan dan Syawal TV AlHijrah, di sini, semalam.
Sebagai seorang bapa, pelakon asal Uzbekistan itu menegaskan pendiriannya menentang sebarang bentuk buli, malah sering menasihati anak-anak supaya berani bersuara jika melihat ketidakadilan.
“Saya selalu pesan pada anak-anak, jangan biarkan diri dibuli dan jangan diam kalau nampak orang lain diperlakukan begitu.
“Dalam media sosial pun, saya memang akan bersuara jika melibatkan isu buli, rogol atau keganasan. Bagi saya, itu tanggungjawab sebagai manusia,” jelasnya. – HIBGLAM
