‘Cari pasangan bukan nak melabur, jenama jam tangan bukan ukuran’

TIDAK bersetuju dengan pendapat mengenai trend memilih kekasih melalui jenama jam tangan, pempengaruh Ryzal Ibrahim menyifatkan tindakan tersebut sebagai pegangan yang salah.

Menurut Ryzal atau nama sebenarnya Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim, 34, walaupun jam tangan boleh melambangkan personaliti seseorang, tetapi tidak seharusnya dijadikan kayu ukuran untuk menentukan status lelaki.

“Nasihat itu untuk wanita, nak cari teman lelaki atau suami, kena tengok jam. Pada saya betul, melambangkan personaliti seseorang tetapi kalau dia meletakkan jenama sebagai ukuran dalam mencari pasangan, salahlah.

“Kalau dia pakai jam biasa, cantik saja tak payahlah tengok jenama sebab kadang-kadang lelaki ini asalkan cantik saja jam itu.

Jadi, Maryam tak pandang benda itu, dia tak tahu apa pun erti mewahnya jam itu. Bila saya tukar ke jam lain pun dia tak kisah dan saya pernah pakai jam berharga RM30,” katanya kepada HibGlam.

Tegas Ryzzal, hubungan cinta seharusnya dibina atas nilai kemanusiaan dan keikhlasan, bukannya berdasarkan harta benda yang boleh hilang sekelip mata.

Bila saya tengok orang bagi nasihat untuk melihat jenama supaya nampak ada kelas, salahlah. Bukan kita nak melabur, kita mahu mencari pasangan hidup

“Kalau kita mencari orang yang ada kereta Mercedes, ada rumah besar dan tiba-tiba hilang. Awak nak lari? Jadi, saya rasa agak kasar walaupun dia letakkan jenama yang mampu milik.

“Ada orang yang tak mampu. Kita kena melihat semua aspek, tak boleh tengok jenama ini orang mampu beli,” jelasnya lagi.

Sementara itu, isterinya Maryam You Narae bersetuju dengan kenyataan terbabit dan menyarankan wanita agar lebih bijak menilai kejujuran lelaki berbanding aksesori yang digayakan.

“Itu mungkin salah satu cara untuk melihat pasangan jujur menerima kita. Walaupun ada jam mahal, jangan pakai.

“Kita pakai jam biasa, tengok pandangan dia. Pada saya, lelaki pakai jam mahal kenapa mereka akan jumpa kita? Mereka selalunya dah kaya, ada isteri atau teman wanita.

“Ketika itu, saya tak tengok luaran dia. Saya nampak dia boleh jadi sukses tetapi pada akhirnya bukan mengenai jam kan?,” tuturnya semasa majlis pembukaan cawangan ketiga restoran K Garden Korean BBQ miliknya di IOI Damansara Mall, baru-baru ini.

Sebelum ini, seorang netizen berkongsi tip kepada perempuan agar menilai jenama jam tangan lelaki sebagai simbol kemegahan dan status sebelum memulakan hubungan.

Tidak setuju dengan kenyataan tersebut, Ryzal menganggap tip tersebut terlalu kasar kerana tidak perlu pentingkan jenama jam dalam mencari pasangan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok