PELAKON Aprena Manrose mengakui kecewa apabila terdapat pihak mengaitkan tindakannya menanggalkan tudung dengan soal tidak dikurniakan zuriat sepanjang tempoh perkahwinannya dengan bekas suami, Mohd Afiq Hazman sebelum ini.
Menurut Aprena atau Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 33, meski memahami setiap teguran yang diberikan adalah atas keprihatinan, dia berasakan perihal zuriat perkara sensitif yang tidak perlu dibangkitkan lagi.
“Saya faham mungkin mereka tegur sebab sayang tetapi biarlah hanya saya saja yang tahu dan faham sebabnya. Saya minta maaf.
Adakalanya hati saya sangat terasa apabila ada komen seperti ‘patutlah tak dapat anak’, sedangkan perkara itu tiada kaitan langsung. Saya anggap mereka mungkin berfikiran cetek dan tak memahami orang lain.
“Sembilan tahun berkahwin tak ada anak, benda itu memang sudah biasa cuma saya terfikir, dah cerai pun masih cakap tentang anak lagi ke? Cukuplah.
“Kalau saya mengandung tanpa suami nanti lain pula ceritanya. Astaghfirullahalazim,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada sidang media Puasa Tetap Puasa & Raya Tetap Raya RTM 2026 di sini, semalam.
Dalam masa sama, dia tetap menerima setiap kecaman, nasihat dan teguran netizen berhubung tindakannya tidak lagi bertudung dengan berlapang dada.
Katanya, dia memilih untuk tidak terlalu mengambil hati setiap komen negatif yang dilemparkan kerana mahu memastikan kesihatan mentalnya terjaga.
“Saya tak ada jawapan (buka tudung), tak boleh nak ulas banyak sebab takut esok lusa jadi lain pula. Setiap orang ada ujian masing-masing.
Mungkin ini fasa saya yang hati tengah rasa nak lakukan apa sahaja mengikut keingian sendiri.
“Tak nak fikir pasal orang, takut saya jadi gila. Kalian tak nak saya gila kan? Saya pun tak nak diri sendiri gila,” katanya lagi.
Dia juga memberitahu sudah menjelaskan kepada bapanya mengenai keputusannya untuk tidak memakai hijab ketika ini.
Selagi benda itu ayah dan keluarga saya tahu, sudah memadai. Tak perlu saya nak bagi tahu orang lain tentang perkara yang sebenar.
“Ayah saya juga faham (mengenai keputusan saya) dan respons dia adalah tidak mengapa, janji tidak tinggal solat,” ujarnya.
Mengulas mengenai penampilannya dalam drama vertikal terbaharunya, Nur Untuk Ariff yang kini hangat ditayangkan di TV3, pelakon asal Kelantan ini mengakui keputusannya untuk tidak berhijab adalah demi tuntutan watak.
“Ketika ditawarkan drama tersebut, mereka cakap watak itu tak bertudung dan saya jawab okey.
“Cerita itu sebenarnya shoot bulan Disember dan keluar bulan Januari. Saya ingatkan bila cerita keluar baru orang bercakap, rupanya masa penggambaran lagi dah mula,” ujarnya.
Sejak Oktober tahun lalu, nama Aprena kembali menjadi bualan netizen susulan tular foto dan videonya tidak lagi memakai tudung.
Aprena juga pernah mengakui hatinya pernah berbolak-balik untuk kembali tidak berhijab selepas mengambil keputusan bertudung beberapa tahun lalu.
Sebelum itu, Aprena pada Jun tahun lalu mengesahkan sudah bercerai dengan bekas suaminya tanpa memperincikan punca perpisahan mereka. – HIBGLAM
