‘Jika ditawarkan watak berat, saya sedia terima’

BUKAN anak emas Mawi World Entertainment, pendakwah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias terbuka bekerja di bawah mana-mana syarikat produksi andai kena dengan jalan cerita sesebuah karya.

Katanya, lakonan tetap menjadi minatnya malah ada menerima beberapa tawaran namun disebabkan penyanyi dan penerbit, Mawi terlebih dahulu melamarnya membintangi filem baharu, ada pihak menyangkanya diikat syarikat terbabit.

“Sebenarnya saya masih mahu berlakon selepas tampil dalam filem Zim Zim Ala Kazim dua tahun lalu. Kemudian, Mawi tawarkan pula satu projek baharu dengan kisah aksi bersandarkan pengalaman saya.

“Mungkin dari situ orang menyangka saya cuma nak berlakon dengan produksi terbitan Mawi walhal saya terbuka untuk bekerjasama dengan syarikat lain.

Jika diberikan watak berat kenapa tidak. Bukan memilih, saya memang sedia berlakon terutama kalau ceritanya kuat dan karakter diberi lebih serius,” katanya pada majlis tazkirah sempena pra-Ramadan Nieza Salon Muslimah, baru-baru ini.

Mengenai filem baharu terbitan Mawi World Entertainment, katanya naskhah terbabit banyak membabitkan babak aksi serta sarat drama.

Begitupun, disebabkan kekangan masa berikutan dia perlu menyempurnakan tugasan lain yang sudah dipersetujui lebih awal, penggambaran hanya dimulakan selepas sambutan hari raya.

“Perkara tersebut sudah dibincangkan dan dipersetujui kedua-dua pihak. Berikutan jadual saya yang padat terutama menjelang Ramadan, kerja penggambaran Insya-Allah hanya dapat dimulakan selepas Syawal.

Ceritanya masih berkisar pengalaman lalu saya tapi bukan diselitkan genre lawak, kali ini banyak momen tegang termasuk tiga kali saya diserang ketika berceramah,” ujarnya.

Terdahulu, menerusi filem Zim Zim Ala Kazim yang diterbitkan pada 2024, Ustaz Kazim pertama kali menggalas watak utama yang berdepan bahaya akibat penyakit misteri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok