‘Bila ibu diperlakukan sebegitu bertahun-tahun, saya berdendam’

PENGALAMAN pahit menimpa ibunya yang kerap menjadi mangsa penganiayaan membuatkan pelakon, Puteri Balqis trauma sekali gus sukar mempercayai orang lain.

Puteri Balqis berkata, penderitaan ditanggung insan kesayangannya, Norashikin Mohd Aziz membawa impak besar sehingga pernah membuatkannya menjadi individu pendendam.

Disebabkan apa yang ibu lalui, saya cuba belajar psikologi supaya perkara itu tidak berulang lagi. Bukan belajar psikologi supaya kita boleh buat benda yang sama, tidak. Tetapi supaya kita tahu permainan mereka.

“Kemudian, bermulalah daripada mata kabur jadi mata tiada cahaya sebab waktu ibu saya cerita tentang apa yang berlaku, saya sebenarnya dipenuhi dendam.

Bila seorang ibu diperlakukan begitu bertahun-tahun dan banyak berdiam. Anak dia yang akan berdendam.

“Saya bawah umur 12 tahun dan masih kecil. Trauma dia, Ya Allah,” katanya menerusi sebuah sesi audio siar, Sembang Ohh Yeahhh! yang tular baru-baru ini.

Menurut Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Televisyen Asia Ke- 19 itu, pengalaman berdepan manusia yang suka mengambil kesempatan terhadap dirinya sakit ketika kanak-kanak mendorong ke arah kisah gelap.

“Saya tidak pernah jangka daripada mata kabur bertukar menjadi kisah ini. Kisah ini juga membuatkan mata saya tak ada cahaya.

Waktu itu saya fikir saya sakit. Saya tak pernah terfikir yang ini akan jadi pengajaran yang saya tidak boleh percayakan sesiapa.

“Waktu kecil-kecil macam itu saya bukan main heboh lagi, gelak ceria borak dengan ini borak dengan itu saya banyak belajar. Saya rasa tiada hala tuju sebab ibu tidak bagi tahu,” ujarnya.

Terdahulu, ibu kepada Puteri Balqis, Norashikin mendedahkan menjadi mangsa penipuan seorang artis wanita veteran serta ahli politik beberapa tahun lalu.

Kata Norashikin, dirinya diperangkap dua individu yang kononnya mahu membantunya mempertemukan dengan seorang doktor pakar yang bakal merawat masalah penglihatan Puteri Balqis ketika itu.

Pendedahan wanita terbabit mencetuskan perdebatan apabila ramai netizen serta penggiat seni berharap tindakan undang-undang dikenakan terhadap pelaku. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok