‘Throwback’ isu lama tak apa, jadikan pengajaran – Qistina Raisah

NAMA dikaitkan susulan kontroversi antara dua rakan seperjuangan Mia Sara dan Puteri Balqis, pelakon Qistina Raisah menegaskan konfliknya yang pernah melibatkannya sebelum ini sekadar dijadikan pengajaran kepada semua.

Pemilik nama lengkap Nur Qistina Raisah Mohd. Kamarol Azri, 18, menegaskan tidak mahu mencampuri urusan orang lain demi menjaga ketenangan diri.

“‘Throwback ‘(imbau kembali) tak apa, tapi kalau macam sekarang ini saya okey saja.

Saya tak ada apa-apa nak cakap sebab sebenarnya saya pun tak tahu. Saya tahu benda itu tular selepas dua ke tiga hari kerana terlalu sibuk di Brunei.

“Kalau kalian nak ingatkan balik benda itu untuk jadikan sebagai pengajaran, okey saja tapi kalau lebih-lebih jangan, saya tak tahu apa-apa. Memang tak nak masuk campur, mahu fokus kepada keluarga, hidup dan perniagaan sendiri,” katanya kepada HibGlam pada pelancaran Bayu Somerset X Machino, baru-baru ini.

Tidak terkejut apabila namanya kembali menjadi sebutan netizen, pelakon filem Rahsia itu menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai sendiri fakta memandangkan setiap individu mempunyai perspektif yang berbeza.

“Reaksi? Biasa saja sebab saya dah biasa orang petik nama saya tiba-tiba.

Benda pun dah beberapa tahun. Boleh periksa fakta dan baca sendiri. Pendapat kita kan lain-lain, kalau orang baca rasa saya salah, salah jugalah,” jelasnya.

Dalam masa sama, Qistina memaklumkan tidak menyimpan sebarang dendam terhadap mana-mana pihak dan lebih selesa mengamalkan sikap rendah diri apabila bertemu rakan artis lain.

“Saya baik dengan semua orang. Kalau orang nak tegur saya, saya tegur balik.

Kalau jumpa orang, saya salam dan tegur. Kalau orang tak nak tegur atau macam tak nak layan, tidak mengapa.

“Tapi saya tak pernah ada dendam langsung dengan sesiapa pun. Kita nak bersihkan hati kan, kalau kita benci orang lagi sakitkan hati sendiri dan serabutkan diri,” tuturnya.

Sebelum ini, media sosial panas sebaik Puteri Balqis ‘menempelak’ Mia Sara agar menyelesaikan isu antara mereka dengan dua pilihan selepas wanita berusia 21 tahun itu didakwa turut pernah memalukan ibunya.

Dalam masa sama, Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Aqish, menyifatkan tindakan Mia Sara yang mengalirkan air mata di hadapan pihak media baru-baru ini hanyalah sekadar usaha untuk meraih simpati khalayak.

Sejak konflik tersebut tercetus, nama Qistina turut terpalit kerana pernah terbabit kontroversi lama apabila didakwa disindir Aqish gara-gara isu merendah-rendahkan pelakon wanita itu.

Meskipun pernah menafikan dia punca pergaduhan dan meminta penjelasan terbuka daripada Balqis sebelum ini, Qistina kini memilih untuk tidak lagi memanjangkan isu tersebut demi kebaikan semua pihak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok