USAHAWAN sensasi Datuk Seri Aliff Syukri percaya anak dara sulungnya, Qadejah El Zahra atau dikenali sebagai Cess tidak akan mampu menandingi bakat nyanyian meskipun dia kian mendapat tempat sebagai penyanyi.
Aliff atau nama sebenarnya, Aliff Syukri Kamarzaman, 39, berkata, walaupun kualiti vokal Cess semakin menunjukkan peningkatan ketika berada di studio rakaman baru-baru ini, banyak kelemahan lain perlu diperbaiki.
Jujur, kalau dinilai suara saya lagi sedap berbanding Cess.
“Cess ni dia punya aura kurang, orang tetap nak tengok bapa dia. Saya memang kat (aspek) aura,” demikian katanya ketika ditemui HibGlam pada majlis pelancaran jenama kopi baharu, Juz Coffee baru-baru ini.
Percaya bakat seni mengalir dalam diri darah daging, Aliff mendedahkan keluarganya akan melancarkan tiga lagu raya baharu bersempena Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.
Untuk raya tahun ini, keluarga saya akan buat tiga lagu terus. Tunggu sahaja nanti.
“Cess tempoh hari dia rakam lagu dengan tiga orang lagi penyanyi cilik Alyssa Dezek, Ara Aziz, dan Cik B.
“Tahun lalu, mereka viral dengan lagu Raya GenZ. Tahun ini, mereka ada satu program dengan satu stesen televisyen sebagai pengacara,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas tentang bakat nyanyiannya yang sering dipandang acuh tidak acuh, pelantun lagu Abang Nak Tegur itu mengakui kadangkala terkilan dengan layanan industri.
“Saya buat lagu tiada sokongan label dan mengaku buat sebab syok sendiri. Dah 10 tahun menghiburkan rakyat Malaysia tapi rasa tak pernah dihargai.
Orang kecam apa semua, lagu tetap trending dan orang nak tengok. Tak pernah stesen televisyen panggil tapi di gelanggang online sampai berjuta-juta tengok dan dengar,” ujarnya mengharapkan terus diberikan peluang membuktikan bakat nyanyian.
Terdahulu, HibGlam menerusi ruangan pojok Diva melaporkan Cess, 16, umpama jelmaan Aliff Syukri 2.0 apabila masuk studio merakamkan sebuah lagu istimewa, khusus bagi memeriahkan kehadiran Syawal. – HIBGLAM
