Michelle Yeoh takluk Berlin, Sandiwara angkat jiwa Malaysia

NAMA Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mencuri tumpuan pentas perfileman dunia apabila pemenang Oscar itu bakal muncul dalam filem pendek terbaharu berjudul Sandiwara, arahan sutradara tersohor Hollywood, Sean Baker.

Menariknya, penggambaran dijalankan sepenuhnya di Pulau Pinang dengan latar pasar malam serta tempat sarat penjaja yang sibuk meniaga menggambarkan denyut nadi kehidupan masyarakat Malaysia.

Menurut sebuah laporan, Sandiwara dijadualkan membuat tayangan perdana dunia di Festival Filem Antarabangsa Berlin (Berlinale) pada 13 Februari ini, sekali gus menandakan kolaborasi istimewa antara dua figura besar industri perfileman global.

Dalam naskhah terbabit, anak jati Ipoh Perak itu menggalas cabaran besar apabila membawakan lima watak berbeza, masing-masing mengetengahkan kisah serta sisi jarang dipaparkan tentang budaya tempatan.

Malah, judul filem tersebut diambil daripada perkataan Melayu membawa maksud drama atau persembahan teater, selari dengan struktur penceritaan berlapis.

Filem berkenaan diterbitkan menerusi program Self-Portrait Residency, satu inisiatif kreatif diperkenalkan oleh jenama fesyen berpangkalan di London sejak tahun lalu, bertujuan membuka ruang kebebasan berkarya kepada penggiat seni merentas disiplin.

Menerusi projek ini, Sean kembali ke akar pembikinan filem awalnya dengan menggunakan teknik penggambaran sepenuhnya menerusi iPhone, pendekatan ikonik pernah melonjakkan reputasinya menerusi karya seperti Tangerine dan Snowbird.

Pihak Berlinale menyifatkan Sandiwara sebagai sebuah karya imersif memfokuskan penceritaan sinematik tulen, bukan sekadar visual bergaya, malah menyelami lapisan budaya tempatan secara jujur dan berani.

Tayangan khas Sandiwara di Berlin bakal disusuli sesi perbincangan secara langsung bersama Baker dan Yeoh, membuka ruang kepada penonton memahami proses kreatif serta visi di sebalik pembikinan filem tersebut.

Durasi rasmi filem dijangka sekitar 30 minit, namun hanya akan dimuktamadkan selepas tayangan perdana.

Kemunculan bintang Wicked: For Good itu di Berlinale kali ini turut mencatat detik bersejarah dalam kerjayanya apabila Baker dijadualkan menyampaikan Anugerah Golden Bear Kehormat bagi Pencapaian Sepanjang Hayat kepada aktres tersebut pada majlis pembukaan festival, 12 Februari ini.

Festival Filem Antarabangsa Berlin 2026 berlangsung dari 12 hingga 22 Februari, menghimpunkan pelbagai judul antarabangsa merangkumi genre seram, sains fiksyen, drama serta filem berteras muzik, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai antara festival perfileman paling berprestij dunia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok