MEMUTUSKAN untuk berhijab pada tahun lalu merupakan salah satu perubahan terbesar
dilakukan Elly Mazlein sepanjang bergelar anak seni.
Akui Elly yang masih berusaha untuk kekal istiqamah, dia bersyukur kerana banyak pihak
menghormati penampilannya termasuk pihak stesen televisyen dan jenama tekstil terkenal,
Jakel yang melantiknya sebagai duta.
“Alhamdulillah stesen televisyen dan Jakel sangat peka dengan penampilan setiap dutanya
termasuk saya yang sudah berhijab.
“Banyak benda mereka jaga termasuk pemilihan pakaian lebih longgar dan menyediakan
penata gaya tudung untuk saya.
“Mereka menyambut baik dan beri kerjasama mengikut acuan saya,” katanya kepada HibGlam,
baru-baru ini.
Berkongsi tentang caranya untuk kekal istiqamah, penyanyi berusia 45 tahun itu kini berusaha
menjalani kehidupan sebagai muslimah yang lebih baik setiap hari.
“Adakalanya kita lalai tetapi dalam masa sama tidak berhenti menjadi lebih baik dan pastinya
mahu menuju ke tempat yang diidamkan semua (syurga).
“Cuma sekarang ini saya cuba nak menjalani proses itu dengan cepat, sempurnakan hal yang
pernah tertinggal sebelum ini.
“Nak cakap lambat atau cepat sebenarnya hal sensitif, cuma harap semua doakan saya dapat
lakukan perkara yang sewajibnya. Cuma buat masa ini saya bersyukur dengan apa yang Allah
beri untuk diri ini,” ujar bekas pengacara Gegar Vaganza berkenaan.
Ditanya mengenai ujiannya apabila ada tawaran kerja terbatal kerana berhijab, ibu anak dua itu
menegaskan, dia sedikitpun tidak bersedih sebaliknya bersyukur kerana lebih banyak pintu
rezeki terbuka luas buatnya.
“Kalau boleh nak kekal dengan imej sebegini hingga hujung nyawa, insya-Allah. Doakan yang
baik-baik.
“Nak cari rezeki di bumi Allah SWT ini ada banyak ruang sebenarnya. Saya bersyukur Allah uji
sekejap tetapi selepas itu, rezeki tiba-tiba menderu masuk, banyak jenama yang sambung
kontrak.
“Kita jangan bersangka buruk dengan Allah sebab Dia sebaik-baik perancang dan rezeki
memang ada di mana-mana,” katanya lagi.
Menjawab sama ada akan mengekalkan cara pengacaraan yang sama selepas berhijab,
pelantun lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu menegaskan identitinya di pentas tidak akan berubah.
Masih sama
Jelasnya, dia akan meneruskan watak Suraya dan Kak Lina Pom Pom setiap kali mengendalikan mana-mana acara kerana identiti itu paling diminati ramai.
“Tidak akan sesekali berubah! Inilah yang orang suka dan jangan berpura-pura.
“Suraya tetap ada sebab tempoh hari ada majmuk (peminat) risau sebab takut watak itu hilang.
“Walaupun dengan imej sekarang, saya tahu apa yang boleh dan tidak. Saya keluar mencari
rezeki, bekerja seperti biasa tetapi kena tahu batas.
“Suraya tetap Suraya, Kepom tetap Kepom,” tuturnya.
Dia juga mengakui pernah berdepan dilema mengenai cara pengacaraan yang sesuai dengan
penampilan baharunya.
“Ketika baru awal bertudung, saya senyap sekejap sebab rasa keliru dan cuba nak hadam situasi.
“Lepas menilai banyak benda, saya simpulkan bahawa masih boleh berlawak tetapi jangan
melampau dan kena tahu batas sebab sudah bertudung.
“Selepas itu, ramai peminat mula menzahirkan rasa lega sebab lihat Kak Lina Pom Pom dan
Suraya masih wujud. Jangan risau, mereka tidak akan hilang,” jelasnya lagi. – HIBGLAM
