PENAMPILAN dikritik menyerupai terung, penyanyi Amira Othman menyifatkan kecaman adalah perkara normal yang perlu dilalui anak seni.
Enggan ambil pusing, Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman, 33, menganggap setiap individu mempunyai cita rasa dan pandangan berbeza terhadap sesuatu gaya yang ditampilkan.
“Bagi saya, komen dan kritikan itu perkara biasa. Saya pergi majlis atau program usrah pun boleh jadi isu, apatah lagi kalau ada sedikit kekhilafan.
Fesyen ini subjektif, ada yang nampak cantik, ada yang sebaliknya. Sama seperti makanan, ada yang kata sedap, ada pula yang kata tidak.
“Kita memang tidak boleh puaskan hati semua orang,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran koleksi raya Amber 2026, baru-baru ini.
Ditanya sekiranya terkesan dengan kritikan diterima, pelantun lagu Rasa & Takdir itu berkata, dia hanya menumpukan tumpuan kepada peminat yang sentiasa menyokong karier seninya.
“Bagi saya, ini adalah asam garam anak seni. Kalau terganggu, tak mungkin saya masih ada di sini.
Lagipun, kebanyakan komen negatif datang daripada akaun palsu, manakala yang menyokong pula adalah individu yang benar-benar wujud.
“Saya lebih selesa fokus pada mereka yang menyokong. Saya tidak boleh memaksa semua orang untuk menyukai saya,” katanya lagi.
Pada masa sama, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu menyatakan kesediaannya untuk menerima teguran sekiranya disampaikan dengan cara yang berhemah dan membina.
Kalau komen itu diberi dengan cara baik, sudah tentu saya terima dengan hati terbuka. Komen yang tidak baik biasanya datang daripada golongan ‘haters’ (pembenci).
“Walaupun kita cuba berbuat baik, tetap ada yang membenci. Buat baik orang mengata, apatah lagi kalau ada kekurangan.
“Saya hargai majoriti yang menyokong. Yang minoriti ini, kita abaikan saja,” jelasnya.
Sebelum ini, penampilan Amira dikecam semasa menjalani penggambaran mempromosikan busana raya di Istanbul, Turki. – HIBGLAM
