MASIH berlarutan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menetapkan tarikh baharu prosiding pengesahan lafaz taklik pasangan pelakon Beego dan Linda Hashim pada 9 April depan.
Peguam syarie yang mewakili Beego iaitu Muhammad Akmal Amzan berkata, penangguhan perbicaraan susulan pihaknya selaku defendan memfailkan wakalah peguam dan dokumen pembelaan pada hari ini.
“Kami menghantar dokumen pembelaan hari ini dan disebabkan itu perbicaraan tak dapat dijalankan dalam tarikh yang sama disebabkan pembelaan baru masuk.
“Mahkamah tetapkan tarikh lain untuk perbicaraan iaitu pada 9 April.
Isu taklik ini melibatkan dakwaan sebelah pihak mengatakan ada lafaz, jadi pihak kami menafikan dan perlu melalui satu perbicaraan.
“Kalau Beego nak lafaz cerai sekali pun tak boleh sebab mahkamah perlu sahkan lafaz taklik tersebut dulu,” katanya kepada HibGlam hari ini.
Sementara itu, Beego yang mengulas dakwaan sengaja memanjangkan kes perceraian dengan Linda menegaskan hanya mengikut prosedur ditentukan pihak mahkamah.
Dia juga tidak menafikan lafaz taklik tersebut berlaku namun terdapat kekeliruan sehingga menyebabkan prosiding perceraian mereka berlarutan.
“Kalau misal kata betul lafaz taklik itu memang sah, tak perlu kita nak panjangkan lagi prosiding mahkamah.
Bukan sengaja atau niat nak menyeksa Linda sebab macam yang saya cakap sebelum ini, saya memang nak pulihkan keadaan
“Tapi bila Linda failkan pengesahan lafaz taklik ini, sudah jadi panjang,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia masih menyimpan harapan untuk menyelamatkan rumah tangganya dengan Linda.
“Daripada pihak saya, masih ada harapan itu. Sebab bagi saya, ini adalah satu ujian daripada Allah SWT.
Jadi untuk mempertahankan rumah tangga adalah satu benda yang saya perlu buat.
“Namun, sekiranya mahkamah memutuskan berlaku tafaz taklik, saya reda,” jelasnya.
Kemelut rumah tangga pasangan itu mula menjadi perhatian sejak Januari tahun lalu apabila Linda memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan tersebut pernah sah bercerai pada 27 Mac 2023, sebelum mencapai persetujuan untuk rujuk semula pada 9 April tahun sama serta membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Bagaimanapun, Linda mendakwa mereka sekali lagi berpisah beberapa bulan selepas rujuk, sebelum kembali bersama tidak lama kemudian.
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, serta Indah Camelia, 6 tahun. – HIBGLAM
