‘Ya, saya sudah kahwin’ – Hana Elite nikahi bekas pemain bola sepak

SELEPAS 19 tahun bergelar ibu tunggal, bekas anggota kumpulan Elite, Hana Adnan kini sah bergelar isteri kepada bekas penyerang kebangsaan, Rudie Ramli.

Kebahagiaan Hana turut dikongsikan rakan seperjuangannya juga pelakon, Azah Aziz yang mengusik dengan menyatakan perkahwinan tersebut bakal menjadi topik hangat dalam media sosial.

“Esok kau (Hana) viral,” katanya dalam hantaran di InstaStory.

Berterus terang, Hana atau nama sebenarnya Nurhanasafiza Mat Adnan, 48, mengakui dirinya kini sudah mendirikan rumah tangga.

“Ya, saya sudah berkahwin,” ujarnya ringkas menerusi video dikongsikan sahabatnya.

Hana bernikah dalam sebuah majlis di ibu kota, semalam. Sebelum itu, Azah lebih dahulu memberi bayangan mahu menghadiri sebuah majlis perkahwinan namun merahsiakan identiti pasangan yang diraikan.

“Kita nak pergi majlis kahwin. Nak tahu siapa kahwin, nanti kita beritahu. Rahsia,” katanya.

Khabar itu turut disahkan sendiri pemain yang pernah beraksi di Jerman bersama kelab SV Wehen itu dalam laman Facebook.

Dalam perkongsian video majlis itu, pemain yang pernah menjulang kejuaraan Liga Super bersama Selangor FC pada 2009 dan 2010 itu mengucapkan terima kasih di atas kehadiran tetamu yang dijemput.

“Saya Rudie Ramli terutama sekali saya mengucapkan terima kasih keluarga saya, keluarga baru mentua saya, terima kasih banyak-banyak, yang banyak membantu kami berdua dalam persiapan,” katanya.

Hana sebelum ini pernah berkahwin dengan warga British dan tinggal di United Kingdom, namun dia kembali ke tanah air selepas bercerai pada tahun 2007. Perkahwinan mereka dikurniakan dua orang anak. Manakala Rudie juga sebelum ini berstatus duda yang mempunyai dua cahaya mata.

Bukan baru kenal, Hana dan Rudie sebaliknya merupakan rakan sekolah. Menariknya, disebabkan lebih berusia, Hana mengakui Rudie sebelum ini merupakan adik angkatnya. Hubungan mereka kembali bertaut sejak  2024 selepas satu menghadiri majlis pertemuan semula ‘reunion’ sekolah. Selepas mengetahui status Rudi yang juga solo, hubungan mereka kembali rapat ke arah lebih serius. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok