‘Life must going on’ – Pesanan Along Eyzendy jadi reda isteri

 “Along pesan minta saya kuat demi anak-anak dan teruskan hidup jika dia tiada.”

Demikian pesanan pelakon Allahyarham Along Eyzendy kepada isterinya, Hamidah Mohd Yatim, 42, semasa hayatnya yang akan diingati sampai bila-bila.

Kata ibu kepada tiga anak itu, pesanan tersebutlah yang menguatkan keredaan hatinya menerima ketentuan Ilahi apabila Along menghembuskan nafas terakhir pukul 12.36 tengah malam tadi selepas tiga hari bertarung nyawa.

“Memang suami ada pesan suruh saya jadi kuat sebab kami ada anak-anak. Kena teruskan hidup juga kalau dia tiada.

“Life must going on’ (hidup harus diteruskan). Saya sentiasa ingat pesanannya itu yang selalu disebut sebelum dia sakit lagi.

“Mana-mana sebelum dia pergi bekerja jauh, mesti dia ingatkan saya agar jaga diri dan anak-anak,” katanya.

Menurut Hamidah, urusan pengkebumian arwah selamat disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, Johor pada pukul 9.30 pagi tadi.

Akuinya, dia serta anak-anak reda dengan pemergian insan yang mereka sayangi itu selain berterima kasih atas kata-kata semangat saudara mara dan sahabat mereka.

“Allahyarham Along selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang pagi ini.

“Terima kasih pada semua yang datang memberikan penghormatan terakhir, mengirimkan Whatsapp dan mendoakannya,” ujarnya.

Meningga dunia selepas tiga hari bertarung nyawa, terdahulu Allahyarham Along atau nama sebenarnya, Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, dimasukkan ke wad Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang pada Jumaat minggu lalu akibat demam dan batuk berpanjangan.

Difahamkan berlaku jangkitan kuman pada stent di saluran hempedunya sehingga terpaksa ditidurkan dan arwah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSIS tengah malam tadi.

Terdahulu, Along pernah mengalami masalah buah pinggang namun kembali aktif berlakon selepas menjalani pembedahan pemindahan ginjal ginjal yang didermakan isterinya pada 15 April 2021. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok