‘Kalau nampak saya lambat, maafkanlah’ – Abil kongsi derita slip disc

SEKARANG kalau berdiri pun tak boleh terlalu lama dan pergerakan jadi lebih perlahan.”

Itu antara kesan yang terpaksa dilalui aktres, Nabila Huda selepas disahkan mengalami kecederaan tulang belakang (slip disc L5) baru-baru ini.

Menurut Nabila, 42, dia juga kini memerlukan bantuan orang lain bagi mengangkat barang berat kerana bimbang akan menambah lagi sakit tulang belakangnya.

“Sekarang kalau penat ketika penggambaran, saya akan duduk atau baring sekejap dan tak boleh buat kerja berat-berat sangat.

“Pergerakan pun perlu lebih perlahan, bangun tidur sudah tak boleh secara mengejut. Kena tarik nafas dulu, baring mengiring, baru bangun.

Pergerakan jadi lambat dan langkah demi langkah, sedangkan sebelum ini saya jenis buat semua benda cepat, bangun tidur terus nak masak dan turun tangga laju. Sekarang semua kena langkah demi langkah.

“Jadi, kalau nampak saya lambat lepas ini, maafkanlah dan fahamlah keadaan saya ini,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis rakaman raya TV Sarawak (TVS) di sini, baru-baru ini.

Katanya, sakit tulang belakang tersebut pernah dialaminya namun memilih untuk tidak mengambil serius sebelum ini kerana lebih fokus dengan kerjaya.

“Dahulu pernah ada kemalangan, ketika itu masih muda, dan tidak ambil serius walaupun doktor kata ada sesuatu yang tak kena.

“Kemudian ketika sibuk dengan teater Masmona, tiba-tiba pinggang sangat sakit selepas bangun tidur, berdiri pun kena kaku sekejap sebelum boleh berjalan.

“Sangat risau sebab saya nak buat persembahan dan memilih untuk terus pergi hospital menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) untuk tahu keadaan sebenar” katanya lagi.

Ujarnya, dia bakal menjalani rawatan fisioterapi pada minggu depan bagi memulihkan kecederaan tulang belakangnya.

“Selepas ini saya kena lebih berdisiplin sebab tak nak bangun tidur dalam keadaan sakit.

“Sekarang Alhamdulillah dah tak sakit macam sebelum ini sebab saya ada sapu krim dan doktor kata rawatan terbaik adalah dengan fisioterapi saja.

“Saya tak akan lakukan pembedahan sebab orang kata pembedahan ada risikonya. Doktor kata insya-Allah boleh sembuh dengan fisioterapi, cuma kena rajin,” ujarnya.

Sekitar Disember lalu, Nabila mula membuat pemeriksaan fizikal selepas diserang kesakitan pada bahagian pinggang apabila bangun daripada tidur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok