BIMBANG jadi mangsa penunggang agama atau ‘scammer’, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha akan membuat pertimbangan teliti sebelum menyalurkan sebarang sumbangan kepada mana-mana individu atau badan kebajikan.
Menurut Daiyan, 32, perkara tersebut adalah bagi memastikan setiap wang derma disalurkan kepada platform yang betul dan tidak berlaku sebarang penyelewengan atau salah guna dana.
“Saya memang buat carian mengenai pihak berkaitan seperti sahih atau tidak kewujudan mereka dan saluran yang digunakan.
“Kemudian saya akan minta mereka papar dokumen atau laporan yang sah seperti menunjukkan setiap derma diterima ke pihak sepatutnya.
“Sekarang banyak organisasi yang lebih ‘transparent’, jadi mudah juga dan elak daripada jadi mangsa penipuan,” katanya kepada HibGlam selepas majlis pembukaan kafe terbaharunya, Butterfly Florist & Slow Bar.
Kerisauan mengenai ketelusan dana sumbangan sangat dekat dalam pemerhatian Daiyan apabila isu sama dibangkitkan dalam drama terbaharunya, Di Sebalik Jubah. Naskhah berkenaan menampilkan kisah dua adik-beradik lakonannya bersama Azira Shafinaz yang menggunakan agama demi kepentingan sendiri.
“Memang risau setiap kali nak salurkan derma dan sebab itu perkara tersebut menjadi isu utama dalam Di Sebalik Jubah untuk beri kesedaran mengenai penunggang agama di luar sana.
“Mungkin selepas drama tersebut viral, masyarakat akan lebih berhati-hati sebelum memberi sebarang sumbangan supaya wang yang diberikan tidak disalahguna oleh pihak lain,” jelasnya yang terkejut Di Sebalik Jubah menerima sambutan hebat dalam media sosial.
Mengulas mengenai wataknya sebagai penunggang agama yang dilihat ‘kena’ dengan beberapa kes tangkapan melibatkan pendakwah didakwa menyeleweng wang derma dan isu pencabulan, Daiyan berkata semua persamaan tersebut hanya kebetulan.
Dia bagaimanapun mengingatkan orang orang ramai agar tidak mudah menabur kepercayaan hanya berdasarkan penampilan luaran seseorang.
“Tidak kisahlah mereka punya penampilan macam mana, pakai jubah atau tidak, kalau ada niat jahat, memang akan jahat juga.
“Itu yang drama ini cuba sampaikan termasuk bagi mesej positif kepada masyarakat supaya berjaga-jaga dan lebih teliti sebelum beri derma,” ujarnya lagi. – HIBGLAM
