‘Saya bukan diganggu wanita tetapi lelaki lembut, bapa orang’

NAMA Fahrin Ahmad bukan semata-mata singgah di bibir peminat, malah terpahat sebagai ikon lelaki versatil industri hiburan tempatan.

Lebih dua dekad mengemudi dunia seni, wajah tampan dimilikinya itu disertai disiplin kerja tinggi, adab terpelihara serta kualiti lakonan dan pengacaraan tanpa cela.

Dari layar drama ke pentas pengacaraan, Fahrin membina profil kukuh sebagai anak seni penuh pakej.

Relevan merentas zaman, portfolionya terus berkembang tanpa perlu dipertikai, membuktikan nilai profesionalisme mengatasi sekadar populariti sementara.

Bertemu empat mata dengannya, penulis memilih jalan berani mati, tanpa berbasa-basi, soalan panas terus dilemparkan berhubung usikan nakal segelintir pengguna Threads dan media sosial lain yang mendakwa kononnya aktor tinggi lampai itu lelaki songsang.

Diganggu sama jantina

Ketawa kecil mendengar tuduhan itu, anak jati Johor Bahru itu pantas menafikan dakwaan tersebut, namun tidak menolak hakikat bahawa peti mesej peribadi media sosialnya (DM) dipenuhi ‘percubaan’ golongan berkenaan.

“Ini fakta yang saya rasa perlu dikongsikan. Saya datang dari zaman pasca media sosial. Bila media sosial muncul, orang di luar sana jadi lebih berani dan boleh berbuat apa sahaja sesuka hati mereka.

Paling kelakarnya, walaupun saya sudah berkahwin, bila saya muat naik gambar, bukan wanita yang ramai menghantar mesej memuji, tetapi golongan ini. Tidak kira usia, dari remaja sampailah bapa orang.

“Saya jadi pelik juga tapi tak bersangka buruk dan tak layan. Cuma terfikir, rupa-rupanya ramai golongan ini di luar sana. Mungkin lelaki bila makin berusia, makin ‘ranum’ agaknya,” selorohnya kepada HibGlam.

Ditanya punca spekulasi sebegitu kerap menghantui dirinya sejak awal karier, Fahrin mengimbas kembali perjalanan hidup dan persepsi masyarakat terhadap imej lelaki dalam dunia seni.

“Sejak awal, kehidupan peribadi saya sering jadi perhatian. Siapa saya bercinta, siapa saya berkawan. Waktu itu juga muncul trend lelaki sasa. Saya pula main ragbi. Jadi telahan seperti itu bukan perkara asing.

Bila kerap putus cinta dan lambat bertemu jodoh, spekulasi makin rancak. Tambah pula sikap saya yang mudah mesra dan suka bergurau dengan kawan-kawan lelaki, termasuk yang lembut. Mungkin daripada situ timbul gosip nakal.

“Hakikatnya tidak. Saya tidak pernah dan tidak akan ke arah itu. Alhamdulillah, sampai hari ini saya lurus. Saya pencinta wanita tapi saya tak menilai dan tak memberi reaksi negatif. Setiap orang ada jalan cerita sendiri. Kita saling mendoakan sahaja,” tuturnya.

Tak sorok isteri!

Selesai merungkai dakwaan dan spekulasi yang berlegar, penulis mengubah haluan kepada satu wilayah lebih peribadi iaitu perihal rumah tangga Fahrin bersama isteri tercinta, Elena Hani Eleas, hasil ikatan sah pada 9 Mei 2015.

 

Ketika ramai berlumba-lumba menjaja aib dan kisah peribadi dalam media sosial, Fahrin pula seolah-olah menyembunyikan wajah isteri serta anak daripada tatapan umum.

MASIH menjadi rebutan walaupun sudah bergelar seorang suami, Fahrin mendedahkan dia pernah berdepan gangguan berbaur ‘nakal’ bukan sahaja daripada golongan wanita, bahkan kaum sejenis.

Tiada pameran berlebihan, tiada naratif sempurna dicipta demi simpati. Segalanya sederhana, namun cukup utuh untuk mempertahankan keharmonian rumah tangga daripada kerakusan mata luar.

Bagi pelakon berusia 45 tahun itu, rumah tangga kehilangan makna jika terlalu dipersembahkan untuk tatapan umum.

Saya tak pernah sorok pun. Cuma bagi saya, jalan begitu lebih tenang untuk kehidupan. Saya selalu pesan pada isteri, apa yang dia lihat saya di rumah, bersama anak, itulah ruang istimewa mereka.

“Saya tak boleh bawa dunia luar masuk ke rumah. Kalau semuanya dikongsi, tiada bezanya rumah tangga saya dengan dunia luar. Sebab itu kalau nak berkongsi pun, biarlah sederhana. Bila terlalu berlebihan, orang mula mencari-cari perkara lain pula,” jelasnya.

Mengulas budaya meluahkan masalah peribadi dalam media sosial, bapa satu anak itu berpendapat, kematangan seseorang teruji ketika berdepan konflik malah berpendirian platform digital bukan ruang penyelesaian, malah berpotensi memburukkan keadaan.

“Kalau ada masalah, kita kena belajar jadi matang. Media sosial bukan jawapan. Saya lihat benda itu lebih banyak memburukkan keadaan. Sebagai orang yang cintakan keamanan dan keharmonian, kita perlu sangat berhati-hati.

Saya tak pernah jadikan keluarga sebagai bahan pemasaran, kalau ada rezeki datang tanpa niat begitu, saya syukur. Sejak awal masuk industri, saya sedar ‘harga’ sebagai anak seni perlu dibayar sangat tinggi.

“Tak salah kalau orang lain pilih strategi itu, tapi setiap pilihan ada penilaian sendiri. Kalau akhirnya hanya membawa lebih banyak kontroversi sampai wang pun sudah tiada makna, pada saya itu tak berbaloi,” luahnya,

Lelaki jarang bergaduh

Beralih kepada isu industri, penulis mengajukan persoalan tentang pandangannya sebagai figura senior berhubung kekecohan mutakhir melibatkan pergaduhan pelakon remaja wanita.

MENURUT Fahrin terlalu berkongsi perihal peribadi di gelanggang media sosial juga menjadi punca keretakan institusi rumah tangga sejak kebelakangan ini.

Soalan turut menyentuh sama ada dia pernah berdepan situasi sama iaitu diperlekehkan rakan seindustri sepanjang perjalanan kariernya dalam dunia seni.

Tersenyum, pengacara Wanita Hari Ini (WHI) itu bersyukur kerana melangkah masuk ke dunia hiburan dalam lingkungan tepat, dikelilingi individu matang serta saling menghormati.

“Okey, perkara ini saya kena kata alhamdulillah. Saya masuk industri dalam kelompok betul. Mungkin juga sebab cara saya membawa diri, sentiasa terbuka untuk belajar dan menerima pandangan.

Kalau ada kritikan, saya tak anggap itu perlekehan tapi lihat sebagai cara membina. Mungkin kalau salah dari segi cara, bahasa atau medium, itu perkara lain. Saya tak pernah berdepan situasi diperlekehkan.

“Kalau nak kata secara jujur, artis lelaki kurang berdepan isu begini. Kami jarang rasa terancam antara satu sama lain. Secara fitrah, kami lebih menyokong. Sebab itu jarang kita dengar artis lelaki bergaduh atau saling merendahkan,” kongsinya.

Paling penting kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang itu, punca utama konflik masa kini berpunca daripada kewujudan media sosial, menjadikan sesuatu isu cepat membesar dan mudah disalah tafsir.

Zaman sekarang, semuanya jadi sensasi sebab media sosial. Dulu berbeza. Kita lebih terbuka, tak terlalu defensif. Sebagai orang baharu, kita terima kritikan atau teguran secara langsung dengan adab dan etika cantik.

“Sekarang, bila kritikan disampaikan secara terbuka, ada pihak anggap itu mengaibkan. Kenapa tak selesai secara tertutup? Di situ perbezaannya. Cabaran tetap sama, cuma adab, etika dan cara sudah berubah,” tutupnya. – HIGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok