‘Orang makan orang’ bukan sekadar dongeng!

SEJAK minggu lalu, berlegar-legar tentang segala teori berhubung fail Epstein -lebih 3 juta halaman dokumen, 2,000 video, dan 180,000 foto siasatan kes pemangsa seksual Jeffrey Epstein yang didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).

Bukan hanya menyita desas-desus semata-mata, penulis teringat akan sebuah filem yang sempat diusaikan ketika berlibur di sebuah negeri Pantai Timur tanah air berjudul Labinak: They Are Amongst Us.

Diarahkan Azhar Kinoi Lubis, naskhah ini mengangkat konsep kumpulan kanibal elit yang bersembunyi di sebalik yayasan pendidikan mewah — sesuatu yang jarang kita tengok dalam karya seram Indonesia yang biasanya hantu sundal bolong atau pocong.

Penulis secara peribadi berani menyifatkan filem ini sebuah percubaan berani dari kaca mata pengkarya Indonesia.

KELUARGA elit yang luarannya tampak serba sempurna dan gah namun tersimpan sisi gelap cukup mengerikan.

Berani, tak klise

Cerita memfokuskan tentang Najwa lakonan Raihaanun, seorang ibu tunggal dan guru yang pindah ke Jakarta demi masa depan anak perempuannya, Yanti (Nayla D. Purnama).

Tawaran kerja di sekolah elit milik keluarga Bhairawa nampak macam rezeki terpijak — gaji lumayan, rumah selesa dan biasiswa anak. Tapi lama-lama terbongkar rahsia gelap: ritual kanibal demi ‘keabadian’ dan Najwa serta anaknya jadi sasaran.

Lari daripada kisah seram klise, Labinak tebal dengan elemen seram psikologi dan tema kanibal yang sangat mengakibatkan kecut perut, rasa ingin muntah yang tidak berbahagi.

Lakonan Raihaanun memang kuat sebagai ibu yang memasang impian keluar daripada kepompong kemiskinan, namun masih menjunjung ketabahan. Cetusan kimia dengan Nayla sebagai anaknya juga buat hati tersentuh.

Naskhah ini sangat mencengkam dari awal sampai ke akhir tontonan terutama melibatkan babak di sekolah dan rumah mewah yang sangat membuatkan penonton tidak senang duduk dan sesak nafas.

Kritkan halus

Bukan sahaja itu, Labinak juga berjaya menterjemahkan kritikan sosial halus tentang kelas sosial golongan elit vs orang biasa dan metafora ‘memakan’ orang lain demi kekayaan dan keabadian hidup mereka yang tamak haloba.

PELAKON utama Labinak, Raihaanun membawakan karakter Najwa – seorang ibu tunggal dengan cemerlang.

Kendatipun, tidak semua filem itu dapat lari daripada kecacatan dari sudut plot mahupun urusan teknikal.

Bahagian tengah agak perlahan dan berulang termasuk banyak jumpscare kecil yang boleh ditebak biarpun belum tiba saat dipersembahkan kepada audiens.

Selain itu, elemen supernatural dan penampakan kadang-kadang terlalu banyak, lantas mengakibatkan tema kanibal kurang kuat dan tidak begitu membekas.

Seperkara lagi, penamat filem rasa seperti tergesa-gesa yang memberikan firasat terpaksa dipotong pendek walaupun plot twist masih boleh diterima akal.

Kebetulan kes Epstein menjadi polemik di gelanggang media sosial. Buat mereka yang barangkali masih ‘clueless’, barangkali dengan sedikit tontonan Labinak akan mencerahkan segala kegusaran.

Walaupun bukanlah terjemahan atau perbandingan ‘apple to apple’, kisah inilah sedikit sebanyak tentang teori terkait golongan elit yang sering dihubungkan dengan gerakan Freemason atau Illuminati. Markah peribadi untuk Labinak: They Are Amongst us: 75/100. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok