PELAKON dan pengacara, Neelofa mendoakan hubungan kakaknya, Noor Nabila bersama teman lelaki baharu akan bertemu kebahagiaan.
Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd Noor, 37, berkata, sebagai adik sudah tentu dia mahu yang terbaik buat kakaknya.
“Saya tidak tahu dia sudah kongsi (dedah hubungan dalam sosial media). Sebagai adik mestilah kita mahu kakak gembira dan yang terbaik untuknya.
“Kita hendak perkahwinan, rumah tangganya diberkati, berkekalan dan yang baik-baik sahaja,” katanya.
Selepas beberapa kali berhadapan dengan kegagalan rumah tangga, Neelofa mengharapkan hubungan terbaharu Nabila ini akan berkekalan.
“Kita sama-sama doakanlah ya, sebab dia pun telah lalui macam-macam. Semoga apa yang dipelajari (daripada kegagalan perkahwinan sebelum ini) boleh digunakan dalam perkenalan kali ini. Semoga doa kalian semua bawa kebaikan,” ujarnya.
Neelofa berkata demikian ketika ditemui HibGlam pada pentas akhir program Mualim Muda malam tadi.
Terdahulu, Nabila, 41, meraih perhatian apabila berkongsi foto mesra bersama lelaki berjambang yang dikenali sebagai Mr AA di akaun media sosialnya baru-baru ini.
Lelaki yang bekerja sebagai jurulatih peribadi itu berusia 10 tahun lebih muda daripadanya dan menurut Nabila dalam satu kenyataan hubungan mereka telah pun direstui kedua-dua pihak keluarga.
Untuk rekod, Noor Nabila pernah mendirikan rumah tangga kali pertama pada Julai 2013, namun perkahwinan tersebut berakhir setahun kemudian. Dia kemudiannya berkahwin dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada Mac 2017 sebelum berpisah pada Julai 2020.
Nabila seterusnya bernikah dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada Mac 2021, namun perkahwinan itu juga tidak bertahan lama dan berakhir pada tahun berikutnya. – HIBGLAM
