Lagu galau penyembuh luka jiwa Raisa

TAHUN 2025 meninggalkan parut luka dalam diari kehidupan penyanyi terkenal Indonesia, Raisa.

Selain masih bergelut dengan rasa pedih selepas kehilangan bonda tercinta, namanya turut menjadi bualan hangat susulan kemelut peribadi berkaitan kes perceraiannya dengan Hamish Daud tular di seluruh Nusantara.

Bagaimanapun, bagi pemilik nama lengkap Raisa Andriana, muzik menjadi penyelamat dan jambatan untuknya terus berdiri teguh.

“Pernah saya menangis di pentas, waktu itu menyanyi dua minggu selepas ibu meninggal dunia.

Sesiapa sahaja jika berada di tempat saya pasti akan breakdown. Tapi selepas lancarkan lagu-lagu galau, saya tak sedih lagi.

“Setiap orang ada outlet masing-masing untuk luahkan perasaan. Bagi saya bila dah jadi lagu dan dinyanyikan bersama penonton, jadi satu kelegaan,” katanya kepada HibGlam.

Bakal kembali ke Kuala Lumpur (KL) minggu hadapan bagi menjayakan konsert keempatnya, bintang vokal itu membawa semangat baharu yang lebih segar, intim, dan reflektif menerusi album terbaharunya, Ambivert.

“Saya sangat teruja sebab ini kali keempat beraksi di Kuala Lumpur. Kali ini, saya nak buat sesuatu yang segar dan berbeza daripada konsert-konsert terdahulu dengan membawa album Ambivert.

Ingat lagi tahun lalu ketika pelancaran album, ada promo tiga hari di KL. Lepas berjumpa dengan 12 media, ramai yang bertanya bila konsert Ambivert nak dibuat di sini.

“Akhirnya, permintaan Youraisa Malaysia (kelab peminat) yang mahukan konsert ini tercapai pada awal tahun ini,” ujarnya.

 

STIMEWA konsert keempat di Kuala Lumpur yang berlangsung minggu depan, Raisa turut ditemani sahabatnya, Barsena Bestandhi yang bukan hanya tampil sebagai penyanyi tetapi akan berkongsi kisah di sebalik tabir pembikinan album Ambivert.

Kejutan paling dinantikan dalam konsert kali ini adalah kehadiran penyanyi dan pengarah vokal, Barsena Bestandhi.

Menurut penyanyi berusia 36 tahun itu, kehadiran Barsena bukan sekadar sebagai penyanyi jemputan, malah kehadirannya membawa signifikan lebih besar.

“Sesuatu yang sangat istimewa adalah saya akan bersama Barsena Bestandhi. Dia bukan sekadar penyanyi jemputan, dialah pengarah vokal (vocal director) dalam album ini.

Penonton akan dapat mendengar cerita-cerita di sebalik tabir bagaimana vokal saya diarahkan dalam album ini, cerita yang tak akan dapat didengar kalau Barsena tak ada.

“Jadi, penonton di KL akan dapat pengalaman yang sama seperti showcase di Jakarta sebelum ini,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Raisa memohon maaf kepada peminat yang mengharapkan kehadiran Rony Parulian kerana kekangan jadual tidak membenarkan penyanyi itu turut serta dalam siri kali ini.

Baginya, konsert adalah ruang untuk dia lebih santai bersama peminat. Tidak mahu sekadar menyanyi dan pulang, dia menjanjikan sebuah pengalaman konsert yang sebenar.

“Ini adalah konsert sebenar. Bukan datang, saya nyanyi 11 lagu kemudian selesai. Saya akan bawakan 25 hingga 28 lagu.

Paling istimewa, saya akan bawakan album penuh Ambivert pada set pertama bersama band saya yang terdiri daripada dua pemain gitar, piano, tiga penyanyi latar, dram dan bass.

“Set kedua pula adalah sesi karaoke lagu-lagu lama. Biasanya peminat suka buat live request.

“Kalau penonton sporting, kami akan tunjukkan fleksibiliti di atas panggung di mana saya mungkin akan menyanyi beberapa bait lagu lama yang jarang dibawa secara spontan,” ujarnya.

Ditanya mengenai perasaannya setiap kali beraksi di Malaysia, Raisa tidak dapat menyembunyikan rasa kagum terhadap tenaga yang diberikan peminat di sini.

“Paling istimewa, penonton KL paling seronok, energetik dan interaktif. Semua penyanyi (rakan artis Indonesia) pun bercakap perkara yang sama berdasarkan pengalaman mereka.

Penonton di sini sangat memberi perhatian. Kalau saya buat lawak kecil, mereka faham. Mereka hafal semua lagu, bukan bahagian korus saja tapi dari awal lagu sehingga habis.

“Setiap kali naik pentas, interaksinya pasti berbeza. Mereka sangat luar biasa.

“Ada rasa tertanya-tanya bagaimana cara penonton kali ini ketawa dan menyanyi bersama. Itulah cabaran dan kepuasan buat saya,” katanya ceria.

Menyentuh soal konsep visual, Raisa mengajak peminat untuk hadir dengan busana bertemakan warna-warna senja yang menjadi identiti album Ambivert.

Dianjurkan bersama Sembang Kari Entertainment dan MHT Live My dengan Juni.

Concert sebagai rakan penganjur, Konsert Ambivert Raisa dijadualkan berlangsung pada 13 Februari kelak, di Zepp, KL. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok